Carrick teruja penyudah Sesko

Carrick teruja penyudah tajam Sesko

PEMAIN-Pemain United meraikan jaringan Benjamin Sesko pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Old Trafford-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick teruja dengan ketajaman penyudah yang dipamerkan Benjamin Sesko selepas meledak gol kemenangan ke atas Crystal Palace, semalam.

Jaringan berkenaan adalah gol ketujuh Sesko dalam lapan perlawanan terakhir semua pertandingan, termasuk tiga dalam tiga aksi berturut-turut, prestasi cemerlang yang seiring dengan kebangkitan United di bawah Carrick.

Penyerang muda Slovenia itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan kemas hasil sepakan percuma tepat yang diambil oleh kapten United, Bruno Fernandes.

“Saya sangat gembira untuk Sesko. Dia memberi impak besar dan terus menunjukkan peningkatan. Sebahagiannya adalah proses menyesuaikan diri dengan suasana di sini, memahami makna bermain untuk kelab ini.

“Dia benar-benar mahu berjaya, bekerja keras dan sentiasa berfikir tentang permainannya. Dia ancaman sebenar kepada lawan kerana penyudahnya semakin berbisa ketika ini,” kata Carrick.

Walaupun teruja dengan perkembangan penyerang berusia 22 tahun itu, Carrick enggan terlalu awal membuat kesimpulan.

“Dia masih muda dan perjalanan masih panjang. Tetapi ketika ini, dia berada di landasan yang sangat baik. Saya teruja melihat sejauh mana dia boleh pergi,” tambahnya.

Sementara itu, Carrick tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila ribuan penyokong melaungkan namanya di Old Trafford selepas kemenangan itu meletakkan United di tangga ketiga liga.

“Ya, sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan. Tempat ini amat bermakna buat saya, melihat suasana positif, penyokong menikmati perlawanan dan saya dapat memainkan peranan dalam semua itu… saya tidak akan menafikan, ia memang rasa sangat baik.” kata Carrick.

Sejak mengambil alih tugas susulan pemecatan Ruben Amorim pada 5 Januari lalu, Carrick membimbing United meraih enam kemenangan dan satu keputusan seri dalam tujuh aksi liga, sekali gus mengubah haluan musim mereka.

“Pemain wajar menerima pujian atas apa yang mereka lakukan di atas padang. Ia bukan semata-mata kerana saya.

“Hubungan dengan penyokong amat besar maknanya. Mereka kekal bersama kami walaupun bermula agak perlahan, dan cara kami menamatkan permainan hari ini cukup bermakna” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN