RIYADH: Liga Pro Saudi memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo dengan menegaskan tiada mana-mana individu lebih besar daripada saingan liga bola sepak Arab Saudi.
Ronaldo, yang dilaporkan menerima bayaran 488,000 pound (RM2.6 juta) sehari, tidak beraksi ketika kemenangan Al Nassr pada Isnin lalu.
Penyerang berusia 41 tahun itu tidak senang hati melihat seteru utama Al Nassr, Al Hilal, berjaya mendapatkan Karim Benzema dari Al Ittihad, sedangkan Al Nassr hanya membawa masuk seorang pemain tengah muda pada jendela Januari.
Benzema pula terus mencuri tumpuan apabila meledak hatrik pada penampilan sulungnya bersama Al Hilal dalam kemenangan 6-0 ke atas Al Akhdoud, semalam.
Ronaldo turut merasakan Al Nassr belum menerima tahap sokongan sama seperti Al Hilal serta dua lagi kelab yang dimiliki dana kekayaan berdaulat negara itu, selain kegagalan kelabnya menjuarai liga setakat ini.
Bagaimanapun, jurucakap Liga Pro Saudi menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan setiap kelab beroperasi secara bebas di bawah kerangka sama.
“Liga Pro Saudi disusun berasaskan prinsip mudah: setiap kelab beroperasi secara bebas di bawah peraturan yang sama.
“Setiap kelab mempunyai lembaga pengarah, barisan eksekutif dan kepimpinan bola sepak sendiri. Keputusan mengenai perekrutan, perbelanjaan dan strategi terletak di tangan kelab masing-masing, dalam rangka kewangan yang memastikan kemampanan dan keseimbangan persaingan. Rangka itu terpakai sama rata di seluruh liga.
“Cristiano sudah terlibat sepenuhnya bersama Al Nassr sejak ketibaannya dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan serta aspirasi kelab.
“Seperti mana-mana pesaing elit, dia mahu menang. Namun tiada individu – walaupun signifikan – menentukan keputusan melangkaui kelab masing-masing,” kata jurucakap itu.
Jurucakap sama menambah, aktiviti perpindahan terkini jelas menunjukkan kebebasan berkenaan, dengan setiap kelab membuat keputusan tersendiri dalam parameter kewangan yang diluluskan.- AGENSI









