LONDON: Michael Carrick kecewa dengan ketumpulan penyudah jentera serangan Manchester United ketika terikat 1-1 dengan West Ham yang bergelut di kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
United beraksi di bawah kemampuan sebenar, berbeza dengan prestasi yang dipamerkan dalam empat aksi terakhir dan ketinggalan hasil jaringan Tomas Soucek pada minit ke-50.
The Red Devils bernasib baik tidak tewas apabila jaringan Benjamin Sesko pada minit keenam masa kecederaan menyelamatkan permulaan sempurna Carrick selaku pengurus sementara.
Barpun kekal di tangga keempat Liga Perdana hasil jaringan penyamaan dramatik Sesko, Carrick mengakui pasukannya kurang keserasian dan sentuhan tajam di jentera serangan.
“Saya fikir kami sedikit kecewa dan jelas bukan pada tahap terbaik. Saat seperti ini anda perlu cari jalan dan teruskan. Saya agak kecewa dengan perkara itu.
“Ia satu gelanggang yang sukar dan kami tidak ada ketajaman untuk mencari jawapan. Semangat pemain tetap hebat dan kami terima satu mata serta teruskan.
“Dengan tempoh sukar, akhirnya kami perlu terima satu mata. Ia tidak mudah, tetapi kami tetap menemui jalan. Kami akan ambil beberapa perkara positif daripadanya,” kata Carrick.
Gol kelima Sesko dalam enam aksi terakhir mengekalkan peningkatan prestasinya selepas permulaan hambar musim pertamanya bersama United selepas perpindahan dari Leipzig.
“Penyudah yang hebat. Dia lakukannya lagi. Ia sangat penting. Jaringan yang cantik. Saya gembira untuk dia. Satu lagi gol besar dan langkah yang baik,” kata Carrick.
Keputusan dramatik United itu menyaksikan West Ham kekal terperangkap di zon penyingkiran dan Carrick berharap bekas kelabnya itu bangkit dan keluar daripada kelompok tiga terbawah.
“Saya harap mereka kekal dalam liga. Kelab ini sebahagian besar hidup saya dan saya ada kenangan indah di sini, jadi saya harap mereka kekal,” katanya. – AGENSI










