KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya akan mempertimbangkan penyertaannya dalam skuad Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April ini sekiranya tahap prestasinya sudah mencapai 70 hingga 80 peratus.
Selain itu, beliau turut menolak ramalan yang mengatakan kehadirannya sebagai perseorangan ketiga mampu memberi kelebihan besar kepada pasukan, sebaliknya mengakui tidak melihat sebarang peluang jika dirinya belum cergas sepenuhnya.
“Untuk saya, saya sentiasa bersedia jika diperlukan, tetapi jangkaan saya mungkin sedikit berbeza. Saya perlu kembali sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus baru saya benar-benar yakin untuk mewakili pasukan dalam Piala Thomas.
“Sejujurnya, jika diletakkan sebagai perseorangan ketiga, saya sendiri tidak melihatnya sebagai satu kelebihan. Itu jangkaan peribadi saya,” kata Zii Jia.
Menurut bekas juara All England itu, kesediaannya untuk menyarung jersi negara tetap ada, namun beliau menjelaskan jangkaan sedikit berbeza.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, dia tidak mahu beraksi sekadar melengkapkan pasukan tanpa keyakinan penuh.
“Saya tidak mahu bermain dalam keadaan seperti sekarang dan turun sekadar bermain. Saya mahu sesuatu yang lebih baik dan berbeza,” katanya.
Kelmarin, Zii Jia yang membuat kemunculan semula selepas tempoh pemulihan panjang tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia apabila tewas 12-21, 17-21 kepada pemain India, Ayush Shetty pada aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Untuk rekod, Zii Jia berada di ranking ke-144 dunia, di belakang Leong Jun Hao (28) dan Justin Hoh (37), susulan kejatuhan ranking akibat berehat panjang ekoran kecederaan buku lali dan belakang musim lalu.
Bagaimanapun, beliau masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia yang membolehkannya beraksi dalam kejohanan utama Jelajah Dunia.-UTUSAN











