Parlimen raikan penjaga gol futsal kebangsaan

Parlimen raikan penjaga gol futsal kebangsaan

PENJAGA gol futsal negara, Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln (kanan) menerima penghargaan khas daripada Tan Sri Dr Johari Abdul (tengah) pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjaga gol futsal kebangsaan, Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln memperoleh penghargaan khas dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.

Penghargaan kepada Muhammad Syaifuddin Syukri hasil kejayaannya membantu skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia 2026 dan meraih pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu.

“Penghargaan khas diberikan kepada saudara Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln, Pegawai Parlimen Malaysia, atas kejayaan mengharumkan nama negara dengan meraih pingat gangsa acara futsal Sukan SEA.

“Kejayaan itu membuktikan kecemerlangan warga Parlimen merentas bidang perkhidmatan dan sukan di peringkat antarabangsa,” menurut perkongsian Parlimen Malaysia di laman media sosial rasmi.

Muhammad Syaifuddin Syukri yang kini sedang berada dalam kem latihan futsal negara menjelang Piala Asia 2026, hujung bulan ini mengakui terharu dengan penghargaan ini dan ia menjadi suntikan semangat untuk terus berbakti kepada negara.

“Saya bersyukur dan berterima kasih khususnya buat Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Dr Ahmad Husaini Abd Rahman atas penghargaan yg diberikan dan sokongan dokongan yang diberikan kepada saya serta rakan sepasukan lain. Sudah pasti ia akan beri semangat tambahan kepada saya untuk terus menyumbang kepada pasukan futsal negara.

“Namun fokus saya sekarang pastinya untuk menyiapkan diri bagi memastikan pasukan negara berada pada prestasi terbaik pada Piala Asia dan pada masa yang sama memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada Parlimen Malaysia sebagai anggota penjawat awam nanti,” katanya.

Di Piala Asia 2026 nanti, skuad futsal Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh utama Asia, Iran, Afghanistan dan Arab Saudi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN