AADK siasat 47 klien PUSPEN positif methamphetamine

AADK siasat 47 klien PUSPEN positif methamphetamine

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan terhadap 47 klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah yang didapati positif methamphetamine akan dijalankan Cawangan Keselamatan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah AADK Kedah, Md Razif Wan berkata, siasatan turut melibatkan kakitangan PUSPEN yang disyaki menjadi punca klien terbabit positif dalam saringan ujian air kencing.

“Kes disiasat oleh Cawangan Keselamatan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK dan turut membabitkan kerjasama pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut hasil siasatan akan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selaras dengan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang antaranya mencadangkan laporan polis dibuat.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan siasatan dalaman AADK berhubung kes berkenaan telah bermula sejak November 2024.

Menurutnya, seorang daripada tiga anggota Polis Bantuan AADK yang dikesan membekalkan dadah kepada klien PUSPEN telah ditamatkan perkhidmatan pada Oktober lalu.

Dua lagi anggota Polis Bantuan pula akan menghadap Lembaga Tatatertib bagi tindakan lanjut, yang juga merupakan proses akhir siasatan, dan telah dipindahkan ke AADK Kedah sementara menunggu keputusan.

Saifuddin berkata, siasatan kes berkenaan mengambil masa kerana perlu melalui prosedur tertentu.

Beliau turut memaklumkan siasatan mendapati kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan, malah individu berkenaan turut didapati positif dadah.

Sebelum ini, EAIC mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai bertugas di PUSPEN Serdang sehingga menyebabkan 47 klien disyaki positif methamphetamine dan mengesyorkan supaya laporan polis dibuat.

EAIC turut mencadangkan kawal selia lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke pusat pemulihan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini