BAGAN SERAI: “Semua berlaku terlalu pantas. Saya seperti bermimpi apabila dia pergi meninggalkan saya pada hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-16.”
Demikian luahan Rosmidayarni Othman, 37, isteri kepada seorang pemandu lori yang maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di KM111 Jalan Ipoh – Butterworth di sini pada kira -kira 2.45 petang semalam.
Mangsa, Ruszaidi Roslan, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.
Rosmidayarni berkata, sebelum kejadian suaminya keluar bekerja seperti biasa kira-kira pukul 6.40 pagi selepas bersahur dan menunaikan solat Subuh.
Menurutnya, suaminya itu yang bekerja sebagai pemandu lori mengangkut buah kelapa sawit sejak setahun lalu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah ketika kemalangan berlaku.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adik ipar sebelum bergegas ke Hospital Baharu Parit Buntar. Memang seperti mimpi, tahu-tahu dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik hospital berkenaan di sini semalam.
Lebih menyayat hati, hari kejadian berlaku ketika genap 16 tahun usia perkahwinan mereka.
“Tarikh 26, 27 dan 28 Februari memang ulang tahun perkahwinan kami. Dulu kami buat kenduri di sebelah keluarga saya dan keluarganya dalam tempoh tiga hari itu. Hari ini genap 16 tahun,” katanya.
Menurutnya, sepanjang hidup bersama, Allahyarham seorang yang sederhana dan tidak banyak berubah, namun sejak kebelakangan ini sering menyatakan hasrat untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Dia biasa sahaja, tiada perubahan ketara. Cuma dia selalu cakap mahu jadi lebih baik,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini Allahyarham ada menyatakan tidak mahu membuat sebarang persiapan khas untuk Aidilfitri tahun ini.
“Dia tidak mahu beli baju raya. Sepupu ada menjual baju raya dan saya ada cadangkan untuk beli, tetapi dia kata tidak perlu,” ujarnya.
Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang 16 tahun mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md. mengesahkan kemalangan tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Ruszaidi disolatkan selepas solat Tarawih di Masjid Daerah Bagan Serai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Matang Buluh semalam. – UTUSAN










