KOTA BHARU: Terlalu bergantung kepada pemain import tunggal, Emmanuel Mbarga menjadi antara punca Kelantan Red Warriors (KRW) FC tumpas 0-2 kepada DPMM FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia, kelmarin.
Pengendali KRW, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukan berdepan tugas sukar mengimbangi DPMM yang menurunkan enam import pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu itu.
“Sepatutnya semua kena bermain (main peranan), tetapi sekarang ini Mbarga adalah watak utama dan kita memang terpaksa berharap kepadanya. Jadi ada lagi 90 minit dan kita akan berusaha untuk memberikan yang terbaik.
“Bagaimanapun kita kena berpegang kepada realiti kerana kita akan bermain di gelanggang lawan dan saya dikhabarkan keadaan padang di sana kurang memuaskan,” katanya.
Menurut Irfan Bakti, anak didiknya mampu menandingi kehebatan DPMM FC terutama pada separuh masa pertama namun kalah dari segi fizikal apabila kedua-dua gol pasukan pelawat dijaringkan daripada situasi bola mati.
“Kita kalah hari ini (malam tadi) dan bagi saya ia sebuah kekalahan fizikal kerana kita sebenarnya mampu menandingi mereka dan memperoleh beberapa peluang yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.
“Kedua-dua gol mereka (DPMM FC) adalah daripada ‘set piece’ dan ia menunjukkan mereka benar-benar menggunakan ketinggian yang ada pada pemain-pemain mereka,” katanya
Irfan Bakti memberitahu, saingan Piala Malaysia dilihat sebagai pentas pendedahan pengalaman buat barisan pemain KRW kerana beliau sendiri lebih menekankan kepentingan prestasi dalam Liga A1 Semi Pro berikutan sasaran utama adalah untuk melangkah ke Liga Super.-UTUSAN










