PETALING JAYA:Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih memiliki talian hayat terakhir bagi mengelak hukuman penggantungan berat daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, peluang itu hadir dengan beban berat dengan syarat badan induk itu bersedia memberi laluan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran.
Langkah tersebut dilihat sebagai jalan terbaik untuk menyelamatkan FAM daripada dikenakan penggantungan, namun pada masa sama memerlukan keberanian besar kerana ia secara tidak langsung menuntut pengakuan terhadap kesilapan dan kelemahan tadbir urus yang berlaku.
Setakat ini, FAM masih memilih pendirian untuk melawan FIFA dengan membawa pertikaian berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan keputusan muktamad dijangka diketahui pada Mac ini.
Bagaimanapun, sumber yang mempunyai pengalaman luas dalam landskap bola sepak antarabangsa berpandangan, pendekatan konfrontasi itu berisiko tinggi dan boleh memakan diri sekiranya keputusan tidak memihak kepada FAM.
“Ini cara terbaik dengan memberi laluan kepada AFC untuk masuk membantu dan memperbetulkan pentadbiran dalam FAM, sekali gus membina imej lebih positif terhadap bola sepak Malaysia di mata FIFA.
“Lebih cepat langkah ini diambil, lebih baik. Namun, memberi ruang kepada AFC bermaksud FAM perlu mengakui kesalahan yang berlaku dan bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya,” kata sumber itu.
Menurutnya, walaupun langkah itu pahit untuk ditelan, ia jauh lebih selamat berbanding berdepan risiko penggantungan penuh yang boleh melumpuhkan keseluruhan ekosistem bola sepak negara, termasuk skuad kebangsaan, kelab dan pegawai perlawanan.-UTUSAN










