Tuchel pentingkan prestasi bukan populariti

Tuchel pentingkan prestasi bukan populariti

JUDE Bellingham kena berusaha pikat Thomas Tuchel untuk berada dalam skuad England ke Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan bintang ternama seperti Jude Bellingham dan Phil Foden tidak dijamin tempat dalam kesebelasan utama, selepas kedua-duanya hanya memulakan aksi dari bangku simpanan ketika The Three Lions menang 2-0 ke atas Serbia di Wembley, semalam.

Sebaliknya, Tuchel mengekalkan kepercayaan kepada pemain yang cemerlang dalam tiga perlawanan sebelum ini, sekali gus memberi mesej jelas bahawa prestasi semasa lebih utama berbanding reputasi.

Bellingham dan Foden dimasukkan pada minit ke-64, masing-masing kali pertama kembali bersama skuad selepas beberapa kali diketepikan.

England terlebih dahulu memastikan tiket ke Piala Dunia 2026 sejak Oktober lalu, susulan kemenangan selesa di Latvia dan kejayaan membelasah Serbia 5-0 pada September.

Bellingham tidak beraksi untuk England sejak Jun, manakala Foden terlepas tiga kem latihan antarabangsa berturut-turut.

Masuk sebagai pemain gantian, kedua-dua bintang itu tetap memberi impak apabila berganding menghasilkan bantuan gol untuk Eberechi Eze pada minit ke-90, selepas jaringan awal Bukayo Saka memastikan England mendahului babak pertama.

Tuchel berkata, pasukan lebih penting daripada membina satu kesebelasan utama yang tidak boleh disentuh.

“Ia bukan mengenai membina kesebelasan utama, tetapi membina pasukan. Semua pemain ini bintang di kelab masing-masing. Sudah tentu mereka kecewa jika tidak bermain, itu lumrah.

“Tetapi mereka menerima falsafah membina pasukan. Tiada jalan lain selain mengutamakan kumpulan yang kuat, yang mampu mengetepikan ego dan kekecewaan untuk membantu pasukan,” kata jurulatih kelahiran Jerman itu.

Bellingham sebelum ini berdepan dakwaan kononnya menjadi pencetus ketegangan dalaman skuad England, namun Tuchel menegaskan kualiti pemain tengah Real Madrid itu tidak pernah diragui dan tidak mungkin dia diketepikan daripada skuad ke Piala Dunia.

Sama ada Bellingham akan kembali ke kesebelasan utama masih menjadi tanda tanya, namun Tuchel optimis perpaduan yang dibina sejak beliau mengambil alih jawatan pada Januari menjadi kekuatan England menuju pusingan akhir.

“Kami memiliki budaya pasukan yang kuat, dengan teras kepimpinan yang memberi arah jelas. Suasana dalam skuad sangat positif dan pemain menjaga standard setiap kali berkumpul.

“Jika kami terus berada pada landasan yang betul, sesuatu yang istimewa mungkin dapat dibentuk,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN