KISAH mengenai banjir besar yang menenggelamkan seluruh muka bumi terdapat dalam tradisi masyarakat seluruh dunia. Kisah-kisah ini turut diketahui penduduk pelbagai kaum di Malaysia sejak usia kanak-kanak.
Catatan yang paling terkenal ada dalam kitab agama Kristian dan Islam.
Dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) dikatakan kisah mengenai Nabi Nuh, banjir besar dan bantera hanya diceritakan secara umum dalam al-Quran.
Penceritaan lebih terperinci ada dalam Book of Genesis dalam tradisi Kristian. Latar belakang Noah (Nuh) dan keluarganya juga diceritakan secara lebih mendalam dalam kitab agama Kristian.
Sebagaimana dinyatakan, kisah-kisah mengenai peristiwa banjir besar juga ditemui dalam tradisi masyarakat di hampir seluruh pelusuk dunia. Ada yang dikaitkan dengan kitab agama dan banyak pula merupakan kisah yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi.
Dalam tamadun India, diceritakan tentang watak Manu yang membina sebuah bahtera besar untuk menyelamatkan keluarganya, tujuh orang maharishi, sembilan jenis bijirin dan sepasang daripada semua jenis binatang yang terdapat di muka bumi.
Maknanya, banjir besar ini melibatkan seluruh dunia. Dalam tradisi Islam, banjir hanya melibatkan kawasan sekitar Mesopotamia (Iraq) iaitu dataran sepanjang 600 kilometer (km) dan selebar 160km.
Dalam versi India, Manu menemui seekor anak ikan yang merayu minta dilindungi daripada dimakan ikan besar. Ikan itu kemudian mula membesar sebelum dilepaskan ke laut.
Tidak lama kemudian, sang ikan memberi amaran kepada Manu tentang banjir besar yang bakal melanda. Manu diminta membina sebuah kapal. Apabila banjir berlaku, ikan itu membawa kapal Manu ke puncak Pergunungan Malaya sebagaimana diceritakan dalam Kurma Purana, Matsya Purana, Vishnu Purana, Mahabharata dan Ramayana.
Selepas banjir surut, Manu memulakan kehidupan baharu di muka bumi yang sudah musnah sepenuhnya. Malah, perkataan manusya dalam bahasa Sanskrit merujuk kepada keturunan Manu. Istilah itulah juga yang kita gunakan sebagai manusia.
Dalam kalangan penduduk Myanmar, ada cerita tentang Pawpaw Nanchaung dan Chang-hko yang menyelamatkan diri daripada banjir dengan memasuki kapal besar. Mereka membawa bersama sembilan ekor ayam jantan dan sembilan batang jarum.
Lama selepas hujan lebat berhenti, pada setiap hari, mereka mencampak seekor ayam dan sebatang jarum dari kapal. Pada hari kesembilan, ayam mendarat di tanah dan mula berkokok, manakala jarum berdeting apabila jatuh ke tanah.
Mereka turun dari kapal dan mula merayau sehingga bertemu sepasang warga emas di dalam gua. Tidak lama kemudian, Chang-hko melahirkan anak. Bayi itu dijaga wanita tua.
Menurut cerita, wanita itu membunuh dan mengerat jasad bayi berkenaan lalu dicampak ke jalan bersimpang sembilan. Selepas Chang-hko berdoa, maka daripada sembilan ketulan mayat itu lahirlah sembilan etnik yang menjadi penduduk pribumi Burma (Myanmar).
Dalam kalangan orang Maori di New Zealand juga ada beberapa versi cerita banjir besar. Misalnya, Para-whenua-mea dan Tupu-nui-a-uta kecewa apabila penduduk mentertawakan ajaran mereka.
Maka, mereka membina kapal dan membawa beberapa pengikut sebelum berdoa supaya hujan turun. Lapan bulan kemudian, banjir surut sepenuhnya, lalu mereka turun ke tanah bagi memulakan hidup baharu.
Hasil pembacaan, saya juga menemui mitos menarik dari Fiji. Dewa Degei memelihara seekor burung yang amat disayangi. Dua orang cucunya membunuh burung itu, kemudian melarikan diri ke puncak gunung.
Dewa Degei membuatkan banjir besar menenggelamkan puncak gunung tetapi kedua-dua cucu berjaya menaiki sebuah kayak. Mereka juga berjaya menyelamatkan beberapa orang mangsa banjir.
Dalam kalangan orang Mexico juga ada beberapa versi cerita mengenai banjir besar yang menghapuskan manusia. Misalnya, kisah seorang lelaki dan wanita berjaya menyelamatkan diri dengan menjadikan kulit kayu sebagai bot. Selepas banjir surut, mereka melahirkan ramai anak yang bisu. Kemudian, seekor merpati memberikan setiap anak satu bahasa untuk dikuasai.
Mitos dalam kalangan penduduk Nicaragua dan Panama juga menceritakan tentang banjir besar yang memusnahkan hidupan di muka Bumi. Beberapa orang yang terselamat pula memulakan kehidupan baharu.
Dalam tradisi penduduk Venezuela, ada mitos tentang dua beradik yang kehausan, lalu mengorek lubang pada tanah untuk mendapatkan air minuman.
Malangnya, air memancut keluar tanpa henti sehingga berlaku banjir besar. Ramai orang mati lemas. Beberapa orang berjaya menebang pokok untuk berpaut dan terapung pada pemukaan air. Tetapi setiap batang kayu hanyut ke kawasan berlainan. Maka, lahirlah keturunan yang berbeza bahasa dan budaya.
Peristiwa yang berlaku selepas banjir surut diceritakan dalam al-Quran (Islam), Book of Jubilees (Yahudi) dan Genesis (Kristian).
Saya turut tertarik membaca satu versi dari Brazil. Banjir besar membuatkan orang Coroados, Cayurucres dan Cames berenang ke Banjaran Serra do Mar.
Hanya orang Coroados berjaya sampai ke puncak. Sebahagian kekal di puncak banjaran manakala sebahagian memanjat pokok.
Apabila banjir surut, orang Coroados kembali ke lembah untuk memulakan hidupan baharu. Tetapi penduduk yang memanjat pokok sudah bertukar menjadi monyet. Roh orang Cayurucres dan Cames pula menjadi pelbagai binatang dan serangga.
Ternyata kisah berkaitan banjir besar terdapat dalam komuniti di seluruh dunia. Kesemuanya disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi sebelum dirakam dalam bentuk bertulis.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










