Sedia kerjasama bentuk kerajaan Sabah kecuali DAP

Sedia kerjasama bentuk kerajaan Sabah kecuali DAP

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

KANGAR: Pas dan Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP bagi membentuk kerajaan negeri jika tiada pihak menang majoriti dalam PRN Sabah, 29 November ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, landskap politik semasa menyukarkan mana-mana parti mencapai kemenangan tunggal, sekali gus menjadikan rundingan pasca-pilihan raya sebagai realiti yang perlu dipertimbangkan.

Menurutnya, Pas hanya sedia bekerjasama dengan parti yang paling kurang mudarat kepada Islam, namun tetap bersedia menjadi pembangkang jika kerjasama tidak tercapai.

“Saya percaya kepemimpinan pusat menilai keperluan ini. Jika perlu, kita akan bersama parti yang tidak mengancam kepentingan Islam. Jika tidak dapat bekerjasama sekali pun, Pas tidak kisah menjadi pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

PN sebelum ini mengumumkan bertanding di 41 daripada 73 ke­rusi DUN pada PRN Sabah Ke-17 dengan 33 calon daripada gabungan itu mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lima daripada Pas dan tiga lagi mewakili Gerakan.

Antara nama besar diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang ditempatkan di DUN Sugut dan Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang dipertaruhkan merampas DUN Karambunai.

Secara keseluruhan, seramai 327 calon ditampilkan parti-parti politik di dalam PRN Sabah kali ini. antaranya Barisan Nasional (BN) seramai 45, Parti Impian Sabah (PIS) seramai 73 calon, Parti Wa­risan Sabah (Warisan) seramai 73 calon, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seramai 55 calon dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) seramai 40 calon.

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bertanding di 23 kerusi DUN dengan pecahan komposisi PKR 10, DAP tujuh, Parti Amanah Negara (Amanah) satu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) lima.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas bersedia menghadapi PRN Sabah dengan menyasarkan kemenangan di beberapa kerusi untuk bertapak di negeri itu.

“Saya lihat, Pas telah banyak bekerja dan berkhidmat untuk menang di Sabah. Penyertaan Pas diharap dapat diterima di Sabah dan kemenangan penting untuk kita bertapak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN