Pinda dasar dadah daripada hukuman kepada rawatan

Pinda dasar dadah daripada hukuman kepada rawatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNDANG-UNDANG penggunaan dadah yang berasaskan hukuman seperti penjara terbukti gagal menghentikan masalah penagihan, malah menimbulkan isu lebih kritikal dari segi sosial, kesihatan dan ekonomi.

Pendekatan hukuman menimbulkan stigma dan diskriminasi terhadap pengguna dadah, menghalang mereka mendapatkan rawatan yang diperlukan untuk pulih.

Lebih membimbangkan, pengguna dadah berisiko tinggi menghadapi HIV, Hepatitis C dan terlebih dos, yang kesemuanya membawa kesan jangka panjang kepada masyarakat dan sistem kesihatan negara.

Sehingga 2024, seramai 192,857 pengguna dadah direkodkan, meningkat 32.5 peratus berbanding 2023.

Pada masa sama, kira-kira 68 peratus banduan atas kesalahan dadah yang kecil, iaitu penggunaan untuk diri sendiri. Jenis dadah yang paling banyak disalahguna ialah Amphetamine-Type Stimulants (ATS) sebanyak 72.5 peratus, diikuti opiat (20.6 peratus) dan kanabis (3.7 peratus).

Pengerusi Program Dasar Dadah Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman menjelaskan kajian ke atas banduan Penjara Kajang pada 2020 dan 2023 mendapati 6.5 peratus daripada 1,057 banduan hidup dengan HIV, 39 peratus Hepatitis C, 60 peratus menghidap Tibi, manakala 7 peratus menghidap Tibi aktif.

Beliau menekankan polisi perlu jelas membezakan pengguna dadah daripada pengedar. Pengguna dadah memerlukan rawatan dan sokongan untuk pulih, bukan dimasukkan ke penjara yang tidak menangani masalah akar umbi seperti penagihan dan kesihatan mental.

“Semasa dalam penjara, mereka mungkin berhenti seketika tetapi kerosakan otak dan kesan dadah menyebabkan mereka berulang semula selepas keluar.

“Dadah sintetik, khususnya, meningkatkan risiko gangguan mental dan tingkah laku ganas,” katanya.

MODUL ANTARABANGSA

Persidangan Dasar Dadah Malaysia, yang diadakan pada 4 dan 5 November di Ampang, turut membincangkan pendekatan antarabangsa seperti model Portugal, yang beralih daripada hukuman jenayah kepada pendekatan kesihatan awam sejak lebih 20 tahun lalu.

Akta Dadah Merbahaya 1952 masih digunakan sehingga kini tetapi ia tinggalan penjajah dan ketinggalan zaman. Ia tidak membezakan antara jenis pengguna, sedangkan 80 peratus pengguna dadah tidak ketagih dan memerlukan pendekatan pencegahan yang berbeza.

Prof. Dr. Vicknasingam Kasinather dari Universiti Sains Malaysia (USM) menegaskan pergantungan dan penagihan dadah adalah diagnosis klinikal, bukan hanya berdasarkan ujian air kencing atau darah. Setiap individu berbeza, jadi rawatan perlu disesuaikan dengan keadaan mereka.

Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya hanya memeriksa sama ada seseorang itu positif atau negatif mengambil dadah, manakala Seksyen 39(c) membenarkan hukuman penjara lima hingga tujuh tahun bagi kesalahan berulang.

Namun, pergantungan dadah bersifat berulang dan tidak terhad kepada satu atau dua percubaan. Justeru, program rawatan perlu fleksibel dan berterusan, mengambil kira latar belakang sosial, ekonomi dan sokongan keluarga setiap individu.

Pengalaman antarabangsa menunjukkan keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan. Di Portugal, Suruhanjaya Pencegahan Ketagihan Dadah menilai pengguna secara klinikal dan merujuk mereka kepada perkhidmatan kesihatan awam jika diperlukan.

Sejak 2001, langkah ini menurunkan 40 peratus pemenjaraan berkaitan dadah, kes HIV menurun daripada 1,287 (2001) kepada 16 (2019), dan kematian berkaitan dadah berkurang 75 peratus. Kos sosial penggunaan dadah turut menurun dan tekanan ke atas sistem keadilan dikurangkan, membolehkan peruntukan sumber digunakan dengan lebih berkesan.

Di United Kingdom (UK), polis menghantar pengguna dadah untuk mendapatkan rawatan berbanding menahan mereka di penjara. Bekas pegawai polis Neil Woods menjelaskan ramai pengguna dadah adalah individu yang menghadapi trauma semasa kanak-kanak dan memerlukan bantuan rawatan.

Pendekatan rawatan membantu memutuskan kitaran jenayah dan mengurangkan eksploitasi oleh sindiket dadah. Walaupun politik tempatan kadang-kadang mengkritik usaha ini, pengalaman UK menunjukkan keberkesanan model kesihatan awam dalam menangani dadah secara bersepadu.

PENDEKATAN SARAWAK
Di Malaysia, Sarawak mengamalkan pendekatan bersepadu melalui One Stop Community yang ditubuhkan pada 2018, melibatkan kerjasama antara penguatkuasa, agensi kerajaan dan masyarakat. Apabila individu ditangkap kerana menggunakan dadah, mereka bukan sahaja didokumentasikan tetapi juga dirujuk ke One Stop Centre for Addiction untuk rawatan pemulihan.

Pendekatan ini membolehkan mereka terus bekerja dan menyara keluarga, mengurangkan kadar penjara. Keberkesanan model ini terbukti, dengan kadar penggunaan dadah di Sarawak terendah di Malaysia, iaitu 0.88 peratus.

Kerajaan negeri juga menyediakan sokongan melalui program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) bagi keluarga terjejas, termasuk bantuan ekonomi sementara sebanyak RM5,000 untuk pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.

Pendekatan ini memastikan bekas pengguna dapat memanfaatkan kemahiran yang dipelajari semasa penjara untuk kelangsungan hidup. Nisbah keberkesanan rawatan di Sarawak juga mencatat rekod tertinggi berbanding seluruh Semenanjung Malaysia dan dunia.

Kesimpulannya, undang-undang dadah berasaskan hukuman gagal menangani penagihan, malah menimbulkan pelbagai isu sosial, kesihatan dan ekonomi.

Sebaliknya model berasaskan rawatan, seperti di Portugal, UK dan Sarawak, terbukti mengurangkan pemenjaraan, menurunkan kes HIV, mengurangkan kematian berkaitan dadah, serta memulihkan individu untuk kembali produktif.

Malaysia perlu meminda dasar sedia ada dengan membezakan pengguna daripada pengedar, memperkenalkan penilaian klinikal dan menyediakan rawatan berterusan yang menyeluruh.

Pendekatan ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa tetapi juga membina masyarakat yang lebih sihat, produktif dan harmoni.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×