Tikar mengkuang masih ‘bernyawa’ di tangan Mariah

Tikar mengkuang masih ‘bernyawa’ di tangan Mariah

Mariah Che Teh dari Kampung Pokka, Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah masih meneruskan pembuatan tikar mengkuang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEKUNAN dan minat mendalam sejak kecil menjadikan seni anyaman tikar mengkuang bukan sekadar hobi bagi Mariah Che Teh, 60, dari Kampung Pokka, Padang Terap tetapi warisan berharga yang terus dipertahankan hingga ke hari ini.

Baginya, setiap helai daun mengkuang yang dianyam bukan sekadar bahan untuk menghasilkan tikar, namun simbol ketabahan, kesabaran dan kasih terhadap seni warisan bangsa yang semakin dilupakan generasi muda.

“Sejak kecil lagi bila balik dari sekolah saya tengok arwah emak menganyam tikar, lama-lama minat itu datang sendiri.

“Bila dah terbiasa, tangan ini rasa tidak lengkap kalau sehari tidak pegang daun mengkuang,” katanya kepada Seri.

Sambil tangan masih lincah melipat dan menindih bilah-bilah daun yang telah dikeringkan di laman rumahnya, Mariah mengakui proses menghasilkan tikar mengkuang bukanlah semudah yang disangka.

Proses itu memerlukan ketelitian tinggi, kesabaran serta masa yang panjang bermula daripada kerja mengambil daun mengkuang di hutan berhampiran sehingga ke proses merebus, menjemur dan menganyam.

“Mula-mula sekali selepas ambil daun, kita atur satu-satu bagi sama panjang dan kemudian kita paras (potong) hujungnya, buang duri dan pisahkan bilah daun dengan menggunakan jangat.

“Daun mengkuang yang sudah dibersihkan kena rebus dalam air panas untuk jadi warna putih semula jadi, manakala rendaman dalam air sejuk pula memberikan warna perang yang lembut dan asli.

“Kalau rebus selama tiga hari tiga malam, barulah warnanya keluar cantik. Lepas itu kita jemur pula bawah matahari sampai betul-betul kering, baru boleh anyam,” katanya.

Bagi Mariah, keindahan sebenar seni menganyam mengkuang terletak pada prosesnya dan bukan sekadar pada hasil akhir.

Setiap helai daun yang disusun, setiap simpulan dan setiap lipatan membawa makna tersendiri.

Akui warga emas itu, bahagian paling rumit menghasilkan tikar adalah membuat ‘kepala’ iaitu bahagian hujung yang menjadi kemasan utama.

“Bahagian kepala kena betul-betul teliti. Kalau silap sikit, tikar boleh jadi senget atau tidak rata.

“Hendak buatnya pun banyak langkah, dua bilah sini, dua di sana, lepas itu baru lipat dan tindih ikut susunan. Baru nampak kemas,” ujarnya.

mengambil daun mengkuang di hutan berhampiran rumahnya.

Pelihara warisan

Dalam dunia yang makin cenderung kepada produk kilang dan rekaan sintetik, seni mengkuang semakin terpinggir.

Namun, bagi Mariah, selagi kudrat masih ada, dia akan terus menganyam bukan kerana keuntungan semata-mata, tetapi demi mengekalkan warisan nenek moyang.

“Saya tahu orang muda sekarang sudah tidak minat sangat benda-benda begini.

“Tetapi kalau kita sendiri tidak teruskan, nanti habislah ilmu ini, rugi generasi depan,” katanya.

Tambahnya, selain dijadikan alas lantai, mengkuang juga digunakan sebagai bahan hiasan, alas meja, beg tangan dan pelbagai produk kraf lain.

Permintaan terhadap produk kraf tempatan juga meningkat semula selepas banyak pelancong luar mula menghargai hasil buatan tangan tradisional.

“Kalau orang luar boleh kagum dengan anyaman kita, kenapa kita sendiri tidak boleh hargai? Ini seni yang lahir daripada tangan dan jiwa,” katanya penuh makna.

Menganyam di kala subuh, malam

Mariah turut berkongsi rahsia kecil yang mungkin tidak diketahui ramai iaitu waktu terbaik untuk menganyam tikar mengkuang adalah di kala subuh atau malam hari.

“Waktu itu daun lembut, senang hendak anyam. Kalau siang cuaca panas, daun keras dan mudah patah.

“Jadi saya suka buat kerja waktu sunyi, tangan pun rasa tenang,” ujarnya.

Sambil tangan pantas menyusun bilah daun yang sudah diwarnakan, Mariah turut berkongsi hasil anyamannya kadangkala dijual kepada jiran dan rakan sekitar kampung.

Selain itu, ia turut dijadikan hadiah pada majlis kenduri atau sambutan hari raya.

“Kalau bagi orang tikar, dia akan ingat kita lama. Itu yang buat saya seronok, bukan kerana duitnya sangat pun tetapi nilai sentimental yang ada pada sekeping tikar ini,” katanya.

Ajar anyaman di sekolah

Walaupun teknologi moden banyak memudahkan kehidupan, namun bagi Mariah, tidak ada mesin yang mampu menggantikan seni dan sentuhan tangan manusia.

Setiap tikar yang dihasilkan mempunyai jiwa tersendiri yang tidak akan sama antara satu dengan lain.

Mariah turut berharap agar seni menganyam mengkuang dapat terus diajar kepada generasi muda, sama ada melalui bengkel kraf tangan, sekolah mahupun inisiatif komuniti.

“Kalau tidak diajar sekarang, 10 tahun lagi mungkin orang cuma tahu tikar plastik. Sayang sangat kalau seni ini lenyap begitu saja,” katanya.

Terapi diri

Bagi Mariah, menganyam bukan sekadar pekerjaan atau hobi, tetapi terapi diri.

Dalam setiap lipatan mengkuang, terselit ketenangan dan kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Bila anyam, hati rasa tenang. Tidak fikir sangat pasal masalah. Tangan bergerak, fikiran pun ikut tenang,” katanya sambil meneliti hasil anyaman yang hampir siap.

Biarpun hidup sederhana di desa, Mariah terus bersemangat mempertahankan warisan seni ini.

Dalam kelembutan tutur katanya, jelas terpancar kebanggaan Mariah yang menjunjung nilai tradisi dan budaya bangsa.

“Selagi ada tenaga, saya akan terus anyam. Ini bukan sekadar tikar, ini tanda kasih pada warisan kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×