PETALING JAYA: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara meneruskan rentak kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026 apabila menewaskan Hong Kong 1-0 di Padang 3, Vietnam YFTC, Hanoi, petang tadi.
Skuad B-16 yang membuka saingan Kumpulan C penuh bergaya apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0 pada Sabtu lalu dan dalam aksi kedua, Hong Kong pula menjadi mangsa kedua biarpun gagal kenduri gol.
Skuad kendalian Javier Jorda Ribera terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila rembatan jarak dekat ketua pasukan, Arayyan Hakeem Norizam diselamatkan penjaga gol Hong Kong, Tang Pui Chun.
Pui Chun terus bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan daripada pemain negara terutama rembatan jarak jauh yang dilakukan Muhammad Iman Muhammad Hapis pada masa kecederaan babak pertama.
Sedar anak buahnya memerlukan tenaga lebih segar, Ribera membawa masuk Mohamad Iman Danish Mohd Shukor untuk mengempur kubu Hong Kong yang kelihatan solid ketika bertahan.
Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila Mohamad Iman Danish berjaya meledak gol pembukaan skuad negara selepas berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Hong Kong pada minit ke-65.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata dan akan meneruskan cabaran menentang Macau dalam aksi ketiga pada Rabu ini.-UTUSAN










