PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli disaran berhenti menuding jari kepada pihak lain dan sebaliknya mula bermuhasabah diri, selain tampil memberikan penjelasan jujur kepada rakyat berhubung pengurusan kewangan kerajaan terdahulu.
Ketua Cabang PKR Maran, Michael Sia Wei Lung berkata, sehingga kini, Rafizi masih gagal menjawab persoalan asas mengenai perbelanjaan ratusan juta ringgit wang kerajaan dan hasil nyata yang benar-benar dirasai rakyat.
“Retorik yang dilaungkan selama ini ternyata tidak diterjemahkan menjadi impak sebenar dalam kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Michael Sia berkata, beberapa inisiatif utama yang dibawa Rafizi jelas menunjukkan kelemahan dari segi pelaksanaan dan keberkesanan.
“Ia termasuk Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang memperkenalkan pendaftaran wajib kepada rakyat seolah-olah mereka akan kehilangan bantuan kerajaan jika gagal mendaftar.
“Pendekatan berasaskan ketakutan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan gaya kepimpinan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi negara ketika itu,” katanya.
Menurut Michael Sia, isu-isu penting yang dibawa oleh Rafizi masih memerlukan penjelasan, namun beliau menyalahkan satu Malaysia seolah-olah mengelak daripada menjawab perkara pokok yang dibangkitkan.
“Sudah tiba masanya Rafizi berhenti menyalahkan pihak lain dan mula bermuhasabah.
“Kepimpinan bukan diukur melalui retorik atau platform podcast, tetapi melalui keupayaan memikul tanggungjawab dan membuktikan hasil yang nyata kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










