KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan suspek yang mencederakan seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di sebuah premis cuci kereta di Bangsar pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek yang merupakan lelaki Melayu berusia 46 tahun itu telah dikenal pasti.
Katanya, suspek turut memiliki rekod jenayah dan dadah.
“Pasukan operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta berkaitan dadah dan usaha mengesannya sedang dipergiatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, setakat ini empat saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Kesemua saksi terdiri daripada tiga rakan sekerja pengadu dan seorang pekerja premis cuci kereta berkenaan,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai AADK cedera di tangan selepas dihiris dengan pisau oleh seorang lelaki ketika menjalankan operasi di premis berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.08 petang itu, mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan pada tapak tangan kanan dan ibu jari kanan.
Hoo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada rakan sekerja mangsa yang juga petugas AADK.
Menurutnya, suspek pada mulanya telah ditahan dan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing, namun enggan memberikan kerjasama sebelum bertindak agresif untuk melarikan diri. – UTUSAN








