Pandelela buktikan masih ada sentuhan emas

Pandelela buktikan masih ada sentuhan emas

AKSI Pandelela Rinong bersama Lee Yiat Qing dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Bukit Jalil, semalam Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong membuktikan dia masih berada dalam kelas tersendiri apabila menghadiahkan emas buat negara walaupun beraksi dalam keadaan cedera pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Bergandingan dengan Lee Yiat Qing dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita, pasangan itu mempamerkan aksi mantap untuk mengumpul 270.27 mata, jauh meninggalkan pencabar muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Affendi yang meraih perak dengan 242.22 mata.

Pandelela mendedahkan mereka terpaksa menukar darjah kesukaran pada terjunan terakhir kepada yang lebih mudah bagi mengelak risiko kecederaannya bertambah serius.

“Ada sebab kami tukar darjah kesukaran. Kalau tidak kami buat darjah yang tinggi, namun disebabkan kecederaan saya, kami tukar terjunan yang lebih mudah. Saya bersyukur semua berjalan dengan lancar hari ini,” kata Pandelela, semalam

Dalam pada itu, atlet berusia 32 tahun itu juga mengakui masih belum cergas sepenuhnya, namun tetap berpuas hati dengan kemampuan untuk menamatkan musim ini dengan cemerlang.

“Saya masih belum 100 peratus, tapi yang penting saya dapat habiskan kejohanan dengan selamat dan tenang,” katanya.

Ini merupakan kejohanan terakhir beliau pada musim ini selepas kem terjun menghantar Eilisha-Farisya ke Sukan SEA Thailand pada Disember ini.

Sementara itu, dalam acara 3m papan anjal seirama wanita, gandingan Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying turut mengekalkan kejuaraan selepas meraih 239.34 mata untuk menewaskan pasangan muda Uzlifatil Jannah Ashraf-Teng Hui Xue yang membawa pulang perak dengan 205.11 mata.

Tempat ketiga menjadi milik wakil Hong Kong, Leung Ka Sin-Angel Wang yang mengumpul 201.69 mata secara keseluruhan serta membawa pulang pingat gangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN