PETALING JAYA: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) memulakan siri sambutan ulang tahun ke-30 dengan penganjuran acara golf eksklusif yang menghimpunkan wakil media nasional serta barisan kepemimpinan utama negeri Johor sekali gus mencetuskan permulaan penuh yakin menuju pelancaran identiti baharu organisasi itu tidak lama lagi.
Acara yang dilaksanakan bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada rakan media, tetapi turut menjadi simbol keserasian dan hubungan erat antara KPRJ dengan para pemegang taruh yang selama tiga dekad menyokong, bekerjasama serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor.
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abdul Manap berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran berkenaan dan menegaskan kepentingan sebagai platform memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin lama antara media dan KPRJ.

“Jemputan ini mencerminkan hubungan yang baik dan saling menghormati antara media dan KPRJ iaitu satu kerjasama yang dibina atas keterbukaan dan keyakinan bersama.
“Sempena ulang tahun ke-30 KPRJ, pertemuan hari ini menekankan kepentingan meneruskan kerjasama konstruktif ketika organisasi ini melangkah ke fasa seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Antara yang hadir memeriahkan acara tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah serta Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar.
Menjelang tiga dekad penubuhannya sejak 1995, KPRJ kini bersiap sedia memperkenalkan identiti korporat baharu yang melambangkan hala tuju masa depan dan aspirasi organisasi itu di bawah tema Tiga Dekad Membina Legasi, Mencorakkan Masa Hadapan.
Sambutan ulang tahun ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap legasi dan sumbangan besar KPRJ dalam memacu pembangunan Johor, tetapi juga sebagai simbol transformasi ke arah masa depan yang lebih dinamik dan progresif.
Acara golf jemputan ini turut menjadi pembuka tirai rasmi kepada sambutan ulang tahun ke-30 KPRJ menjelang pelancaran identiti baharu pada 17 November ini.
Sambutan ulang tahun ke-30 KPRJ itu bakal memperkenalkan wajah korporat lebih segar, berdaya tahan serta berpandangan jauh, seiring dengan komitmen KPRJ untuk terus membina legasi dan mencorakkan masa hadapan Johor. – UTUSAN










