KUALA NERUS: Operasi pembenihan awan akan dilakukan di tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Kedah bermula hari ini sebagai langkah proaktif menangani kesan cuaca panas serta penurunan paras air empangan di beberapa negeri terlibat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan bagi Monsun Barat Daya itu diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) susulan paras air empangan yang mencapai tahap amaran.
Beliau berkata, Johor menjadi negeri pertama terlibat dengan operasi pembenihan awan yang dijadualkan berlangsung dua hari.
“Di Johor, operasi ini melibatkan tiga empangan utama iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap,” katanya selepas majlis Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan dite-ruskan di Perak dan Kedah pada Jumaat dan Sabtu ini.
“Di Perak, pembenihan awan melibatkan Empangan Bukit Merah manakala di Kedah pula Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning,” katanya.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan air terawat dan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya cuaca panas berterusan.
“Proses pembenihan awan dilaksanakan kerana paras air empangan sudah berada di tahap amaran. Justeru, kita mengambil langkah awal sebelum keadaan menjadi lebih kritikal,” katanya. – UTUSAN










