PRN Melaka, Johor: Tiada sebab BN tolak kerjasama dengan PH

PRN Melaka, Johor: Tiada sebab BN tolak kerjasama dengan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) melihat tiada sebab Barisan Nasional (BN) menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor memandangkan kerjasama selama ini terbukti berjalan baik

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara PH dan BN dilihat sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan.

“Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya kerana tiada unsur khianat atau paksaan atau bulu sepanjang kita bekerjasama.

“Lainlah kalau kami seperti Pas dan PN (Perikatan Nasional) yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan.

“Amanah mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan, demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Januari lalu, media melaporkan BN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti kerana ia masih belum diputuskan, namun terpulang kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk menentukan corak dan formula mereka.

Khalid turut menghargai kejujuran Mohamad atau Tok Mat atas jawapannya berhubung persoalan rundingan kerusi PH dan BN untuk PRN Melaka dan Johor yang menyatakan bahawa ia tidak mungkin dilakukan kerana keputusan sama ada mahu kekal bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat.

Katanya, jawapan diberikan Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas berbanding jawapan-jawapan sebelum ini.

“Kalau ikut kenyataan Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh) pula, dia lebih cenderung untuk bersama Pas atau PN.

“Namun demikian, berdasarkan jawapan Tok Mat, Amanah kena bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya.

Menurutnya, Amanah terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.

“Teringat saya akan kata-kata pegawai ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ketika saya ditahan dahulu, ‘pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu’.

“Begitulah keadaannya dengan BN sekarang. Walaupun dilayani dengan baik semasa kerjasama perpaduan ini, terpulang pada BN sama ada hendak teruskan atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Amanah akan menggerakkan jentera mulai sekarang untuk menghadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal.

“Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar ‘statement of fact’ atau menyatakan hakikat,” katanya.

Khalid sebelum ini dilaporkan menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara PH dan BN, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Beliau dilaporkan, landskap politik semasa di kedua-dua negeri itu menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.

Khalid turut menegaskan bahawa pendekatan ‘incumbent’ atau keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai, kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN