PETALING JAYA: Kelemahan dan kesilapan individu menjadi punca utama Selangor FC(SFC) tewas 2-3 kepada kelab Indonesia, Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Pengendali sementara Selangor FC, Christophe Gamel berkata, pasukannya mempamerkan dua wajah berbeza apabila bermula garang pada separuh masa pertama, namun gagal mengekalkan rentak sehingga dihukum dengan dua gol dalam babak kedua.
“Kami bermula baik dan menguasai permainan, tetapi beberapa kesilapan mudah memberi ruang kepada lawan untuk bangkit.
“Ia bukan disebabkan tekanan daripada Persib, tetapi tekanan yang datang daripada diri pemain sendiri.
“Kadangkala mereka mampu menanganinya, kadangkala tidak,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Gamel menegaskan, kekalahan itu harus dijadikan pengajaran, terutama buat pemain senior yang perlu menunjukkan teladan dan membantu pemain muda mengekalkan fokus hingga ke penghujung permainan.
“Kami tahu kelemahan pasukan, terutama dari segi fizikal. Tetapi saya tetap bangga dengan semangat mereka.Dalam bola sepak, apabila buat kesilapan, kita perlu bayar harganya,” ujarnya.
Gamel turut memuji aksi penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang dianggap beraksi cemerlang walaupun pasukan tewas.
“Sheikh Izhan telah banyak menyelamatkan kami malam ini. Dia masih muda, baru berusia 23 tahun, dan saya percaya dia akan terus berkembang,” katanya.
Kekalahan Selangor FC kelmarin bukan sahaja gagal menamatkan badi kekalahan di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), malah turut sah tersingkir untuk mara ke pusingan kalah mati.
Kecewa dengan kekalahan itu, terdapat penyokong gergasi merah yang memasuki kawasan padang selain mereka turut berkumpul di luar stadium untuk berjumpa pihak pengurusan.-UTUSAN










