Jajaran LRT Pulau Pinang dicadang dilanjut ke Seberang Perai

Jajaran LRT Pulau Pinang dicadang dilanjut ke Seberang Perai

ANWAR Ibrahim (kiri) ketika diberi penerangan mengenai projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua di tapak ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Laluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Mutiara dicadangkan disambung sehingga Seberang Perai supaya dapat memberi limpahan pembangunan kepada semua rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu wajar diperluas bagi memastikan pembangunan negeri seimbang dan dinikmati oleh semua. 

“Saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, saya tidak mahu projek itu ‘tersekat’ di situ sahaja (sekitar George Town). Jadi, saya yang mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai. 

“Kalau tidak, jika (projek LRT itu) dekat Pulau Pinang sahaja, dia (pembangkang) akan kata pula: ‘Ha, tengok, jaga pulau sahaja, (jaga) kepentingan Cina sahaja. Tak jaga pun Seberang (Perai), tak jaga Melayu’,” katanya ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua di sini hari ini.

LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 kilometer itu terdiri daripada 21 stesen strategik dan direka bentuk bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Pulau Pinang dengan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan meningkatkan kebolehcapaian.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Projek Penyuraian trafik Juru-Sungai Dua di sini tidak menjadi isu politik kerana ia memberi manfaat yang besar kepada semua pihak.

Katanya, hal ini demikian kerana, rata-rata pemimpin politik serta penduduk termasuk dari negeri-negeri utara yang berjiran dengan Pulau Pinang bersetuju dengan pelaksanaan projek tersebut.

“Di Kedah, Perlis, semua saya tempat saya pergi pun (sebelah utara), dia orang minta supaya selesaikan masalah ini (kesesakan trafik yang berlaku di Juru dan Sungai Dua).

“Yang jadi isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang (sekarang ini) cuma LRT (transit aliran ringan). Dia (pembangkang) tanya, mengapa (kos) terlalu mahal? Dan, mengapa harga itu bertambah?

“Ini sebabnya mengapa saya katakan pimpinan politik ini, dia juga kena ikuti perkembangan,” katanya.

Projek penyuraian trafik itu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM3 bilion akan dibiayai secara hidrid iaitu 60 peratus melalui peruntukan kerajaan manakala baki 40 peratus lagi menerusi Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad)

Tempoh pembinaannya pula dijangka mengambil masa sehingga 48 bulan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 dijadual bermula bulan ini juga manakala pakej-pakej lain dijangka bermula pertengahan bulan depan.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2030 nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN