Bekalan air Pulau Pinang cukup

Bekalan air Pulau Pinang cukup

EMPANGAN Teluk Bahang di Pulau Pinang kini mencapai tahap kapasiti bekalan air sebanyak 82.4 peratus. - IHSAN PBAPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kapasiti Empangan Teluk Bahang kini mencapai tahap 82.4 peratus susulan hujan berterusan sejak awal September sekaligus menandakan situasi bekalan air di Pulau Pinang berada pada tahap selamat menjelang musim kering 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, peningkatan itu dicatat pada 7 November lalu selepas kawasan tadahan air (KTA) empangan berkenaan menerima jumlah hujan sebanyak 989 milimeter dalam tempoh 88 hari.

“Paras air empangan dijangka kekal antara 80 hingga 90 peratus menjelang 1 Januari 2026 sekiranya hujan berterusan sepanjang bulan ini, sekali gus menyediakan rizab mencukupi sebelum bermulanya musim kering.

“Empangan Teluk Bahang kini berada pada tahap baik untuk membekalkan air kepada kira-kira 37,000 pengguna di kawasan Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Mount Erskine,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, paras simpanan air semasa dijangka mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sepanjang tempoh cuaca kering yang diramal bermula awal Januari depan.

Katanya, pada awal tahun ini, kapasiti efektif empangan berkenaan hanya 61.7 peratus dan susut ke paras terendah 45.6 peratus pada 10 April selepas 100 hari cuaca panas dan kering.

“Sejak dirasmikan pada tahun 1999, simpanan air Empangan Teluk Bahang lazimnya menurun antara Januari hingga April, sebelum kembali meningkat hasil hujan lebat pada hujung tahun, khususnya antara September hingga Disember,” katanya.

Pathmanathan berkata, corak taburan hujan yang berubah akibat perubahan iklim beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan kapasiti efektif empangan di bahagian pulau menunjukkan turun naik yang ketara.

“Selain Empangan Teluk Bahang, dua lagi empangan utama Pulau Pinang turut merekodkan prestasi positif dengan Empangan Air Itam mencatat 98.1 peratus kapasiti efektif, meningkat 21.4 peratus berbanding awal tahun.

“Sementara itu, Empangan Mengkuang Diperbesarkan menunjukkan kapasiti stabil pada 90.8 peratus, menurun sedikit 0.4 peratus berbanding Januari lalu, namun kekal berfungsi sebagai empangan strategik rizab kemarau.

“Air dari Empangan Mengkuang hanya digunakan sebagai sokongan kepada bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Sungai Dua sekiranya berlaku situasi kecemasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN