KLANG: Seorang lelaki maut akibat ditembak dua suspek pada bahagian hadapan badannya dekat sebuah stesen minyak Petronas, dekat Bukit Tinggi, di sini, malam tadi.
Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam berhubung kejadian menerusi Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira pukul 11.13 malam tadi.
“Siasatan mendapat mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang tidak bekerja.
“Suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan di bahagian hadapan kereta mangsa dan terkena pada bahagian hadapan badan mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Difahamkan mangsa mempunyai lapan rekod jenayah selain dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, motif kejadian masih lagi dalam siasatan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006.
“Atau menghubungi bilik gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” ujarnya. – UTUSAN










