Deaflympics 2025: Kecederaan ragut impian emas Zaiman

Deaflympics 2025: Kecederaan ragut impian emas Zaiman

Zaiman Megat Abu ketika beraksi pada acara akhir lompat kijang Sukan Deaflympics 2025 yang berlangsung di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Tokyo, Jepun, semalam. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Hasrat atlet lompat kijang negara, Zaiman Megat Abu untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada penampilan keduanya di Sukan Deaflympics 2025 berkecai selepas menamatkan saingan di tempat kelima di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, semalam.

Lompatan sejauh 14.17 meter (m) yang direkodkan Zaiman jauh daripada jangkaan biarpun beliau hadir sebagai prospek pingat berdasarkan catatan peribadi terbaiknya, 14.82m yang dilakukan di Sukan Orang Pekak Malaysia di Sarawak bulan lalu.

Kecederaan kecil pada tumit kanan yang dialaminya sejak dua minggu lalu menjadi faktor utama prestasinya merosot ketika beraksi di bawah suhu sejuk di Tokyo.

Pemenang lompat jauh Sukan SEA Pekak Jakarta 2025 itu berkata, kecederaan tersebut menjejaskan rentaknya sehingga meragut impiannya untuk menggenggam emas pertama negara dalam acara berkenaan.

“Prestasi saya kurang memuaskan sebab saya alami kecederaan dekat bawah kaki. Sejak dua minggu lepas memang sudah alami kesakitan, namun sekarang ini saya bersyukur dapat menemui lawan tetapi kecederaan saya bertambah sakit ketika ini,” kata Zaiman.

Acara itu menyaksikan atlet Amerika Syarikat (AS), Jarvis Jermaine Anderson meraih emas dengan 15.28m, manakala pingat perak dan gangsa menjadi milik atlet neutral, Aliaksandr Maistrenka (14.75m) dan Raman Hralko (14.71m).

Penolong ketua jurulatih olahraga negara, Sanusi Zainal Abidin berkata, kecederaan bukan satu-satunya sebab Zaiman terlepas podium pada hari yang sepatutnya menjadi medan terbaik untuknya menyerlah.

Menurutnya, Zaiman turut dilihat gementar ketika berdepan atlet antarabangsa berbadan tinggi sehingga mengganggu fokusnya di papan lonjakan.

“Saya rasa dia takut, banyak kesilapan saya tengok sejak daripada lompatan kedua dia rasa takut dan itu perlu diatasi segera seperti menghantar beliau ke kejohanan luar untuk membiasakan diri,” kata Sanusi.

Perjuangan Zaiman bersambung Jumaat ini apabila beliau beraksi dalam acara lompat jauh bersama Hazrul Shah Hamri serta wakil wanita negara, Nur Andrina Zainudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN