PETALING JAYA: Sebanyak 50 peratus bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadah itu menolak tawaran berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, masalah kewangan antara faktor utama penolakan tersebut.
Beliau turut mendedahkan bahawa, 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) mempunyai simpanan kurang RM1,300.
“Keadaan itu menyebabkan pendeposit dengan baki simpanan kurang RM1,300 belum layak menunaikan haji kerana jumlah terbabit tidak mencukupi bagi tujuan berkenaan.
“Ini kerana TH kini kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten, biarpun ia ditubuhkan dengan dua matlamat utama iaitu sebagai institusi penabungan dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan bagi projek itu yang sudah dimuktamadkan dan sumber kewangan digunakan.
Mohd Na’im berkata, TH perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta.
Katanya, dengan mengambil kira semua faktor itu dan berdasarkan data serta trend kajian teliti dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan peremajaan jenama bagi memastikan ia kekal relevan.
Mengenai kos penjenamaan semula TH, Mohd Na’im berkata, TH sudah membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa, selari tempoh dipersetujui, selain masih memperhalusi kerja lanjutan diperlukan bagi inisiatif berkenaan dan ia belum dimuktamadkan.
Katanya, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding untuk inisiatif peremajaan jenama bernilai RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun, sebagaimana diperjelaskan pada 16 Ogos lalu.
“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai, setakat ini.
“Peruntukan ini juga mengguna pakai bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – UTUSAN










