BEIJING: Pelancong dari China membatalkan ratusan ribu tiket penerbangan ke Jepun susulan laporan penggantungan pemprosesan visa dan program pertukaran budaya, ketika pertikaian diplomatik berhubung pendirian Jepun terhadap Taiwan kian memuncak.
Berikutan tekanan daripada kumpulan perniagaan, Jepun menghantar seorang diplomat kanan ke Beijing bagi meredakan ketegangan selepas Perdana Menteri Sanae Takaichi menyatakan negara itu mungkin terlibat secara ketenteraan jika China cuba menyerang Taiwan.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Beijing yang kemudiannya mengeluarkan amaran kepada pelancong dan pelajar China supaya berhati-hati sebelum ke Jepun.
Sekurang-kurangnya tujuh syarikat penerbangan China termasuk tiga syarikat milik kerajaan menawarkan pembatalan percuma kepada penumpang yang sudah menempah penerbangan ke Jepun.
Penganalisis perjalanan udara, Hanming Li berkata, data pelepasan menunjukkan 500,000 tiket penerbangan ke Jepun dibatalkan antara 15 hingga 17 November.
Media Jimu News melaporkan Sichuan Airlines membatalkan semua penerbangan antara Chengdu dan Sapporo dari Januari hingga akhir Mac, manakala syarikat penerbangan bajet Spring Airlines turut membatalkan beberapa penerbangan ke Jepun.
Kedua-dua syarikat memetik perancangan syarikat sebagai sebab pembatalan.
China merupakan sumber pelancong kedua terbesar ke Jepun, selain penyumbang utama dalam kalangan pelajar antarabangsa di negara itu.
Saham syarikat runcit dan pelancongan Jepun menjunam pada susulan perkembangan tersebut.
Pembatalan itu terbesar sejak pandemik Covid-19, namun dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada China.









