OSAKA: Satu kajian terbaharu mendapati rempah yang sering digunakan dalam hidangan kari, kurma dan paneer berupaya membantu seseorang mengekalkan berat badan ideal.
Jintan hitam yang lazim ditambah dalam masakan India untuk meningkatkan rasa dan memberikan kekayaan pada sos berkrim menunjukkan sifat antiobesiti.
Ujian klinikal terkini mendapati bahan tersebut mampu menghalang pembentukan sel lemak dan memperbaiki paras kolesterol. Para saintis percaya ia boleh dijadikan makanan untuk mencegah penyakit yang sering dikaitkan dengan masalah berat badan berlebihan secara kronik.
“Penemuan kami memberi pandangan penting mengenai potensi penggunaan biji jintan hitam sebagai intervensi semula jadi untuk obesiti.
“Sungguh memuaskan apabila melihat jintan hitam menunjukkan kesan penurunan lipid darah yang jelas dalam ujian ke atas manusia,” kata pasukan penyelidik.
Penyelidik kini berhasrat mengkaji sama ada bahan tersebut boleh membantu pesakit diabetes menguruskan rintangan insulin.
Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Metropolitan Osaka, Jepun, seramai 42 peserta dengan paras kolesterol tinggi direkrut.
Mereka mendapati peserta yang mengambil lima gram atau satu sudu besar serbuk jintan hitam setiap hari selama lapan minggu menunjukkan penurunan ketara dalam paras trigliserida, kolesterol jahat serta jumlah kolesterol berbanding kumpulan kawalan. Pada masa yang sama, paras kolesterol baik mereka meningkat.
Penyelidik berkata, penambahbaikan sedemikian dikaitkan dengan risiko lebih rendah terhadap penyakit jantung dan kematian awal.
Kumpulan itu turut mendapati ekstrak biji jintan hitam menghalang adipogenesis iaitu pembentukan dan pematangan sel lemak.
“Kajian ini menunjukkan dengan jelas biji jintan hitam berpotensi digunakan sebagai makanan fungsi untuk mencegah obesiti dan penyakit berkaitan gaya hidup,” kata Profesor Akiko Kojima-Yuasa.










