Gandingan Arif Aiman, Faisal, Luqman bakal robek gawang Nepal

Gandingan Arif Aiman, Faisal, Luqman bakal robek gawang Nepal

Luqman Hakim Shamsudin kini menjadi taruhan baharu Harimau Malaya di jentera serangan.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya dijangka mempertaruhkan gandingan Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Luqman Hakim Shamsudin untuk merobek gawang Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak menolak kemungkinan untuk mencuba trio itu dalam misi memburu lebih banyak jaringan dalam aksi terakhir skuad kebangsan pada tahun ini, sekali gus memperkukuhkan kedudukan dalam Kumpulan F.

Menurut Cklamovski, semua pemain juga berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu termasuk Faisal dan Matthew Davies yang sebelum ini menjalani proses pemulihan daripada kecederaan.

“Besar kemungkinan (menurunkan Faisal, Arif Aiman dan Luqman). Pasukan perubatan dan prestasi tinggi juga melakukan tugas yang amat baik terhadap mereka (Faisal dan Davies). Mereka kini sudah cergas dan berlatih sepenuhnya.

“Bagi kesebelasan utama, setiap pemain layak untuk tersenarai. Kami juga akan ada impak daripada pemain simpanan, bergantung bagaimana kami mengaturnya. Ia amat positif dan jika melihat kepada profil skuad yang kami bina, persaingan untuk setiap posisi semakin hebat.

“Pembinaan pasukan untuk jangka panjang juga berjalan dengan baik terutama dari segi kumpulan pemain muda. Ia akan menjadi keputusan yang sukar untuk perlawanan esok dan saya mahu memastikan kami membuat pilihan tepat,” katanya pada sidang media pra perlawanan, semalam.

Malaysia yang berada di ranking 118 dunia dilihat berada pada landasan terbaik untuk meneruskan rekod kemenangan bersih dalam Kumpulan F berdasarkan kedudukan Nepal di tangga ke-180 dunia selain beraksi di gelanggang keramat Harimau Malaya.

Harimau Malaya yang memenangi semua empat aksi sebelum ini memimpin saingan Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata manakala Nepal di tangga tercorot tanpa sebarang mata dan sudah tersingkir dari persaingan untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Cklamovski menegaskan skuad negara menunjukkan kesegaran fizikal dan mental pada sesi latihan, sekaligus meningkatkan keyakinannya untuk melihat Malaysia menutup kalendar 2025 dengan kemenangan.

“Pemain-pemain kelihatan tajam, dari segi mental dan fizikal. Kami mahu cabar diri bermain bola sepak terbaik tahun ini dan kami akan cuba menjaringkan sebanyak mungkin gol sambil memastikan clean sheet,”

Mengulas mengenai ketiadaan Afiq Fazail, Romel Morales dan Shahrul Saad, Clamovski menegaskan fokus pasukan tidak boleh terikat kepada individu semata-mata.

“Ya, kami rindu pemain-pemain yang pernah menyumbang kepada pasukan, tetapi ini bukan tentang seorang pemain. Siapa yang turun sebagai kesebelasan utama tahu apa yang perlu dilakukan dan siapa yang masuk sebagai pemain gantian juga akan beri impak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN