PETALING JAYA: Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertahankan kuota 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82 yang dipengerusikannya hari ini.
Katanya, MTN merupakan satu platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara agar dimanfaatkan.
“Manfaat itu haruslah optimum dan seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial serta kelestarian alam sekitar.
“Mesyuarat hari ini memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, serta responsif terhadap keperluan dan realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Perdana Menteri berkata, bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan segera demi kebajikan rakyat, beliau menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuhkan kerjasama.
“Ia khususnya dalam mempercepatkan proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan Madani akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai salah satu teras utama konsep Madani,” katanya.
Sementara itu, dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersama media yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah di Putrajaya semalam, beliau berkata, Perdana Menteri akan mengetuai misi dagangan bagi meneroka peluang ekonomi dan pelaburan baharu ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula hari ini hingga 24 November ini.
Katanya, lawatan itu akan turut disertai delegasi rasmi dan rombongan perniagaan Malaysia bertujuan memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika.
“Ketiga-tiga pasaran menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa,” katanya.
Katanya, lawatan rasmi pertama Perdana Menteri adalah di Addis Ababa, Ethiopia bermula hari ini hingga 20 November dengan memulakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie.
Tunku Nashrul berkata, kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Ethiopia bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, tumpuan utama di Ethiopia pastinya tertumpu kepada pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri Dr. Abiy Ahmed Ali, di mana perbincangan dua hala akan merangka agenda kerjasama strategik, disusuli dengan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU). – UTUSAN










