Pengundi Ecuador tolak kemasukan pangkalan tentera AS

Pengundi Ecuador tolak kemasukan pangkalan tentera AS

PENGUNDI meraikan keputusan awal referendum pembaharuan perlembagaan di Guayaquil, Ecuador.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Pengundi di Ecuador menolak cadangan membawa masuk semula pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) ke negara itu dalam satu referendum semalam, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presidennya, Daniel Noboa yang rapat dengan Presiden AS, Donald Trump.

Dengan tiga perempat undian dikira, sekitar 60 peratus rakyat Ecuador mengundi ‘tidak’ terhadap cadangan untuk menarik balik larangan lama terhadap kehadiran pangkalan tentera asing.

Keputusan itu sekali gus menyekat tentera AS daripada kembali ke pangkalan udara di Manta di pantai Pasifik yang pernah menjadi pusat operasi Washington membanteras dadah.

Ia merupakan kekalahan serius bagi Noboa yang mempertaruhkan kredibiliti politiknya dalam menangani keganasan kartel dan membina hubungan erat dengan Trump. 

Referendum itu diadakan ketika tentera AS melancarkan serangan udara ke atas bot penyeludupan dadah di Caribbean dan Pasifik, polisi kontroversi yang disokong Noboa.

“Mereka mahu menghapuskan hak kami, menjual kedaulatan kami dan menyerahkannya kepada Trump untuk membina pangkalan tentera asing,” kata seorang penduduk, Ricardo Moreno, 70.

Lebih 14 juta rakyat layak mengundi bagi memutuskan sama ada mahu membatalkan larangan ke atas pangkalan tentera asing yang wujud sejak 2008.

Pengundi turut ditanya tiga soalan lain sama ada pembiayaan awam kepada parti politik harus ditamatkan, jumlah ahli Parlimen dikurangkan dan sebuah badan baharu dipilih untuk merangka Perlembagaan baharu. 

Kiraan awal menunjukkan ketiga-tiga cadangan itu turut ditolak dengan majoriti besar.

“Kami menghormati kehendak rakyat Ecuador,” kata Noboa ketika mengakui keputusan itu.

Noboa memenangi pilihan raya dengan janji untuk membanteras keganasan akibat perang wilayah antara kartel dadah yang mengangkut kokain dari Amerika Latin ke Amerika Utara, Eropah dan Asia. 

Beliau mengerahkan tentera ke jalan raya dan penjara, melancarkan serbuan dramatik ke kawasan kartel dan mengisytiharkan beberapa darurat, langkah yang dikritik kumpulan hak asasi.

Sebelum pengundian bermula, Noboa mengumumkan penangkapan ketua geng Los Lobos, kumpulan jenayah paling digeruni di negara itu. 

Raja dadah paling dikehendaki yang dikenali sebagai Pipo itu dilaporkan memalsukan kematiannya, menukar identiti dan bersembunyi di Eropah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN