PETALING JAYA: Budaya pihak pengurusan menyembunyikan kes salah laku murid kerana ingin menjaga nama sekolah akan menyebabkan masalah disiplin merebak dan menjadi barah kerana tiadanya tindakan untuk menanganinya.
Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, laporan mengenai salah laku murid amat penting kerana ia menjadi petanda peningkatan masalah disiplin dan memerlukan intervensi.
Oleh itu, katanya, pengurusan sekolah yang didapati cuba menyembunyikan kes tersebut perlu dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman tegas.
“Ini bukan untuk memalukan ataupun cuba untuk merosakkan murid-murid tetapi laporan mengenai masalah disiplin ini penting untuk kita melakukan intervensi dan mengambil langkah pemulihan kelakuan.
“Jika laporan itu dikumpulkan, ia akan menunjukkan berlaku peningkatan, jadi tindakan segera perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Jika ia disorok, bagaimana langkah-langkah ini boleh diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malah, Dr. Anuar berkata, guru yang mempunyai jiwa pendidik tidak akan cuba menyembunyikan kes disiplin murid.
Ini kerana, guru itu tahu tentang impak daripada tindakan tersebut, sebaliknya akan berusaha menyelamatkan murid-muridnya melalui laporan dan intervensi.
“Kita kena bina sistem pendidikan yang mendidik anak-anak kita melalui hukuman-hukuman yang bertujuan untuk mendidik bukan untuk mendera saya rasa itu penting dalam sistem pendidikan kita.
“Kita juga kena bina semula jiwa pendidik kepada guru-guru, guru besar dan sebagainya.
“Jika ada jiwa itu, dia bersedia untuk mendidik murid-murid sekiranya mereka membuat salah, pendidik itu tahu bahawa dia kena berikan hukuman terhadap kesalahan dilakukan,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, bahawa guru atau pihak sekolah tidak perlu lagi mencatatkan amalan baik yang dilakukan murid dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), sebaliknya hanya perlu merekodkan salah laku jenayah melibatkan pelajar.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan menggesa pihak sekolah kekal telus semasa melakukan laporan salah laku murid di dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Katanya, masalah disiplin murid perlu direkodkan secara jujur tanpa disembunyikan pihak sekolah.
“Jangan simpan di bawah karpet tentang kesalahan jenayah yang murid lakukan kerana ketelusan penting untuk menjaga imej sekolah dan juga KPM di mata masyarakat dan dalam menangani isu ini, semua pihak semua pihak perlu bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata, peranan membentuk sahsiah murid tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata, sebaliknya bermula daripada rumah.
“Ibu bapa adalah guru pertama. Anak perlu datang ke sekolah dengan asas akhlak yang sudah dibentuk di rumah dan itu yang bakal menentukan bagaimana mereka berperilaku di sekolah.
“Semua pihak perlu berganding bahu. Jika di rumah anak dididik dengan betul maka, di sekolah guru hanya memperkukuhkan. Barulah kita dapat lahirkan murid yang benar-benar berdisiplin,” ujarnya.
Tambahnya, reformasi itu sememangnya akan mengurangkan beban tugas guru sekali gus membantu mereka memberikan tumpuan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Sekarang sudah ada sistem IDME KPM sebagai ‘one-stop centre’ yang benar-benar memudahkan tugas guru dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada PdP sekaligus kurangkan beban guru,” katanya. – UTUSAN











