PETALING JAYA: Semangat berpasukan dan tidak putus asa menjadi resepi kejayaan Selangor FC untuk mengutip tiga mata selepas menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Likas dalam aksi Liga Super, kelmarin.
Pengendali sementara Selangor FC, Christophe Gamel mengakui, barisan pemainnya beraksi cukup baik dengan memenangi setiap bola di atas padang yang akhirnya menhadiahkan kemenangan buat pasukan.
“Saya tabik dengan kebenaranian pasukan, bukan mudah untuk menang di Stadium Likas. Objektif kami adalah untuk mendapatkan tiga mata dan saya rasa kami berjaya mencapai objektif itu, yang sangat penting.
“Kalau tidak, kami akan terlalu jauh daripada kedudukan teratas. Kami lakukan yang terbaik dan saya tidak ada apa-apa yang mahu dipersalahkan kepada pemain kerana anda dapat lihat semangat juang mereka.
Pemain berjuang untuk setiap bola. Secara keseluruhan, kemenangan ini sangat baik kerana kami lebih banyak menguasai permainan, bukan hanya bergantung kepada serangan balas,” katanya.
Dalam aksi berkenaan, kapten Gergasi Merah, Faisal Halim muncul wira apabila meledak gol kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Sementara itu pengendali Sang Badak, Jean-Paul de Marigny mengakui kelekaan barisan pertahanan menghukum pasukannya selepas gagal mengutip tiga mata di laman sendiri.
Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan aksi anak buahnya yang disifatkannya menunjukkan permainan yang baik dan berusaha dengan gigih untuk mencipta peluang sepanjang perlawanan.
“Prestasi pasukan meningkat secara keseluruhan, tetapi kami dihukum kerana beberapa kesilapan dalam prinsip pertahanan dan lawan juga bijak untuk ambil kesempatan itu. Dua gol yang dilepaskan hampir serupa, jadi ia menjadi pengajaran penting untuk kami,” kata De Marigny.
De Marigny turut mengakui anak buahnya bermula agak perlahan dan sering dipintas pemain Selangor apabila mereka menyerang.
“Namun, apabila pemain mula mendapat rentak dan memahami peranan masing-masing, saya rasa perlahan-lahan kami mula mengambil alih permainan, mencipta beberapa peluang yang baik dan pemain mula berani mengawal bola.
“Kami juga berjaya melepasi tekanan mereka beberapa kali, jadi daripada segi itu saya sangat berpuas hati. Kita sedang membina sesuatu di sini dan saya bangga dengan pemain kerana mereka semakin berkembang setiap perlawanan. Sudah tentu, setiap perlawanan memberi pengajaran,” katanya.-UTUSAN









