KUALA LUMPUR: Indonesia mahu terus meningkatkan akses pendidikan kepada warganya yang berada di Malaysia.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mohammad Iman Hascarya Kusumo berkata, pada ketika ini terdapat kira-kira 11,000 pelajar Indonesia yang berada di Malaysia.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat juga anak dari warga Indonesia yang berada di Malaysia tidak memperoleh akses kepada pendidikan atas sebab-sebab tertentu.
“Kita tidak hanya memikirkan tentang pendidikan formal sahaja tetapi kami turut memikirkan pendidikan untuk anak-anak migran yang berada di Malaysia. Mereka tidak boleh masuk secara rasmi ke sekolah-sekolah kebangsaan di sini.
“Oleh itu, kita mempunyai Sanggar Bimbingan (SB) iaitu pusat yang menyediakan pendidikan tidak formal kepada anak-anak pekerja migran. Ia kini berada di Sungai Buloh dan Meru, Selangor,” katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa bersama pengamal media Malaysia di sini semalam. – UTUSAN










