TOKYO: Menara penyiaran tertinggi di dunia, Tokyo Skytree ditutup selepas 20 individu termasuk kanak-kanak terperangkap di dalam lif selama lebih lima jam pada malam Ahad lalu.
Menara Tokyo Skytree setinggi 634 meter, yang merupakan tarikan pelancong utama ditutup sejak kelmarin untuk tujuan pemeriksaan keselamatan.
Pihak polis mengesahkan kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam operasi menyelamat yang berakhir pada pukul 2 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.20 malam waktu tempatan tentang kejadian tersebut.
Menurut operator menara, Tobu Tower Skytree Co., dua buah lif dilaporkan gagal berfungsi secara tiba-tiba ketika sedang bergerak di antara pintu masuk tingkat empat dan dek pemerhatian pada ketinggian 350 meter.
“Sebuah lif yang membawa 20 penumpang sedang bergerak turun, Sebuah lagi lif yang turut terhenti tidak membawa sebarang penumpang ketika kejadian,” jelas syarikat itu.
Bagi mengeluarkan mangsa, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan sebuah lif lain bersebelahan dengan lif yang terkandas pada ketinggian yang sama. Satu panel keluli tahan karat berukuran 120 sentimeter (sm) x 20sm kemudian diletakkan di antara kedua-dua lif tersebut bagi membolehkan mangsa keluar melalui pintu kecemasan di bahagian tepi.
Jurucakap syarikat memaklumkan bahawa punca kegagalan fungsi lif tersebut masih dalam siasatan, menurut akhbar Kyodo News.
“Kami sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua lif dan akan terus memperkukuh sistem penyelenggaraan serta pengurusan keselamatan kami,” katanya.
Bangunan Tokyo Skytree merupakan mercu tanda ikonik dan tarikan pelancong utama di Jepun, namun penutupannya adalah bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin sepenuhnya sebelum ia dibuka semula kepada orang awam. – AGENSI










