SEREMBAN: Keputusan hukuman terhadap remaja lelaki yang dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga kematian dalam kejadian di Senawang pada 6 Mac tahun lalu ditetapkan semula 20 Mei depan.
Peguam, Johan Radzi yang mewakili pesalah muda berusia 18 tahun itu berkata, penangguhan dibuat berikutan laporan perubatan serta laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum lengkap selain memerlukan rujukan silang dengan pihak hospital.
“Selain itu, laporan berkenaan masih belum disiapkan berikutan berlaku pertukaran pegawai,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh keputusan hukuman untuk serahan laporan perubatan dan laporan sosial.
Sebelum ini, remaja berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula pada 17 Disember tahun lalu.
Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh hari ini bagi pendengaran fakta kes dan penyediaan laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh yang pada ketika itu berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15; Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Nahas berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini, kira-kira pukul 8.30 malam pada 6 Mac tahun lalu.
Kereta yang dipandu tertuduh gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal yang datang dari arah kiri lalu.
Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari maut di lokasi kejadian manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. – UTUSAN











