Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri, anak dalam kandungan guna lesung batu

Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri, anak dalam kandungan guna lesung batu

RASHIDULLAH Mong Fumiyah didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret, Kota Tinggi, Johor membunuh isterinya serta mengakibatkan kematian anak yang berada dalam kandungan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa atas dua pertuduhan kerana membunuh isterinya yang sedang hamil sehingga menyebabkan kematian kandungan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Rashidullah Mong Fumiyah, 35, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Fazanah Eskar, 34, di sebuah rumah di Jalan Haji Mustafa, Kampung Makam di sini kira-kira pukul 3 pagi, 13 Februari 2026.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Dalam prosiding sama, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi dalam kandungan isterinya yang sudah cukup bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memukul bahagian kiri kepala mangsa menggunakan lesung batu sehingga menyebabkan kematian wanita itu serta bayi dalam kandungannya di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN