FAM perlu presiden berkaliber, mampu pulihkan maruah

FAM perlu presiden berkaliber, mampu pulihkan maruah bola sepak negara

Christopher Raj
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis keyakinan yang sedang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kemelut pentadbiran ketika ini menuntut kehadiran seorang presiden baharu yang benar-benar memiliki keupayaan luar biasa bagi memulihkan kembali maruah bola sepak negara.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Christopher Raj, menegaskan bahawa individu yang bakal mengisi kerusi No.1 FAM itu perlu tampil dengan ciri kepemimpinan berkaliber tinggi, selain mempunyai kredibiliti yang mampu mengembalikan kepercayaan semua pihak.

Menurutnya, presiden baharu bukan sahaja perlu menyusun semula hala tuju badan induk itu, malah mesti membuktikan bahawa FAM berada di landasan betul mengikut segala ketetapan undang-undang, sekali gus meyakinkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa Malaysia bersedia menutup episod hitam yang berlaku.

“Sesiapa yang mahu menjadi presiden FAM mesti mempunyai ciri kepimpinan yang cukup berkaliber. Dia perlu mampu memimpin FAM keluar daripada malapetaka ini, bukan sekadar membetulkan keadaan, tetapi juga mendapatkan semula kepercayaan pemegang taruh, penaja dan kerajaan Malaysia.

“Selain itu, dia juga perlu mendapatkan kepercayaan semula AFC dan FIFA bahawa FAM selepas ini akan melakukan perkara yang betul mengikut undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, FAM tidak boleh dibiarkan ‘hanyut’ tanpa nahkoda untuk mengemudi badan induk itu, khususnya ketika dibadai ‘ombak besar’.

Ketika berdepan kontroversi dan dikenakan hukuman berat oleh FIFA, peranan Presiden sangat penting untuk menjawab segala isu berbangkit maka pemilihan individu yang bakal mengisi kerusi No.1 FAM perlu disegerakan.

Christopher menambah, calon presiden juga harus bersedia memikul segala tekanan, kritikan dan kecaman yang telah dan akan dilemparkan kepada FAM.

“Sesiapa yang mahu menjadi presiden perlu sanggup menanggung segala musibah yang berlaku sekarang. Tidak boleh datang dan berkata ‘ini bukan berlaku pada zaman saya’. Beban itu tetap perlu dipikul dan diselesai dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Dalam masa sama, kebajikan dan motivasi warga kerja FAM juga perlu diberi perhatian serius kerana moral kakitangan kini berada pada tahap sangat rendah dan memerlukan seorang pemimpin yang mampu membangkitkan kembali semangat seluruh organisasi.

Beliau turut menekankan bahawa presiden baharu FAM tidak boleh terasing daripada penyokong kerana keterlibatan aktif bersama peminat dan kesediaan menerima pandangan umum adalah kunci kepada pembinaan semula imej FAM yang kini tercalar.

“Pemimpin itu mesti berupaya berhubung dengan seluruh peminat bola sepak. Mendengar pandangan mereka dan pihak-pihak berkaitan. Jangan ingat dia seorang sahaja tahu dan bijak. Suara peminat tidak boleh dipinggirkan,” jelasnya.

Justeru, pemilihan presiden baharu FAM bukan sekadar mengisi jawatan kosong, tetapi menentukan hala tuju masa depan bola sepak Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN