PETALING JAYA: Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mendedahkan alasan bertulis di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.
Menerusi dokumen di laman rasmi mereka, FIFA mendedahkan laporan terperinci dalam 64 muka surat mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan yang diumumkan pada 3 November lalu.
“Keputusan yang dimuktamadkan pada 3 November itu memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM dan pemain terlibat bergantung kepada sijil kelahiran palsu bagi mendakwa mempunyai keturunan Malaysia untuk melayakkan diri menyertai skuad Harimau Malaya.
“Siasatan FIFA menemui sijil lahir palsu yang menyenaraikan datuk dan nenek pemain dilahirkan di Malaysia, namun rekod asli yang diperoleh terus daripada pihak berkuasa Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda membuktikan semuanya dilahirkan di luar negara,” kata FIFA.
Lebih mengejutkan, rayuan pemain bahawa mereka ‘bertindak atas kepercayaan’ turut ditolak apabila FIFA menegaskan pemain menandatangani dokumen tanpa membaca, tidak membuat sebarang semakan dan gagal mengesahkan dakwaan keturunan yang digunakan dalam permohonan naturalisasi.
FAM turut didakwa mengemukakan dokumen yang bercanggah, dakwaan keturunan yang tidak sah serta kegagalan melakukan semakan sewajarnya walaupun berulang kali diminta memberikan penjelasan oleh pegawai FIFA.
“Dokumen palsu itu memainkan peranan penting dalam membolehkan pemain memperoleh pengesahan kelayakan, sekali gus membenarkan mereka beraksi dalam perlawanan antarabangsa termasuk kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu yang mana dua pemain warisan itu menjaringkan gol,” jelas FIFA.
Dalam dapatan FIFA, jawatankuasa itu menyatakan pemalsuan berkenaan memberikan ‘kelebihan yang tidak wajar’ kepada Malaysia dan menolak dakwaan pemalsuan itu bersifat kecil atau sekadar isu pentadbiran.
“Semasa rayuan, FAM memaklumkan kepada FIFA setiausaha agungnya, Datuk Noor Azman Rahman digantung sementara dan satu jawatankuasa bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif sudah dilantik untuk menyiasat perkara itu di peringkat domestik.
“Walaupun terdapat langkah dalaman yang diambil, Jawatankuasa Rayuan FIFA merumuskan tiada asas untuk membatalkan atau mengurangkan hukuman, sambil menegaskan ia menjejaskan integriti,” ujar FIFA.
Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.-UTUSAN










