
KEMUNCULAN Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor dijangka memberi kejutan dan menyumbang kemenangan satu kerusi Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Tanjong Kapor adalah antara empat DUN di bawah Parlimen Kudat memberi kelebihan kepada Verdon apatah lagi beliau merupakan wakil rakyat di kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketika PRU15, Vernon membuat kejutan apabila meraih kemenangan Parlimen Kudat dengan lebih 16,000 undi sebagai calon Bebas dalam pertembungan lima penjuru.
Kejayaan itu mencerminkan kekuatan pengaruh peribadi dan penerimaan pengundi terhadap pendekatan politik bebas parti di kawasan pedalaman utara Sabah.
Situasi sama pada PRN Sabah kali ini, namun ia sedikit berbeza apabila beliau yang menggunakan lambang kunci berdepan 11 penjuru yang terdiri daripada parti-parti utama negeri dan nasional.
Malah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak menampilkan penyandang dengan mengetengahkan muka baharu, memberi kelebihan kepada Vernon.
Selain itu, Vernon yang berbangsa Rungus adalah kaum teramai di DUN ini iaitu sekitar 18.6 peratus dijangka menjadikan kedudukannya lebih kuat dalam kalangan pengundi tempatan yang melihat demografi kaum sebagai elemen penting dalam kepimpinan.
Walaupun berdepan 10 calon lain, sokongan asas Verdon dikatakan kukuh kerana rangkaian penyokong akar umbi, jentera sukarela dan pertubuhan tempatan yang membantunya sejak kempen PRU15 masih kekal aktif dan dilaporkan kembali menggerakkan kempen untuknya.
Ada pihak berpandangan bahawa kesediaan pengundi Tanjong Kapor untuk memilih calon Bebas bukanlah kejutan kerana trend tersebut sudah wujud sejak PRU15, malah semakin berkembang sebagai manifestasi penolakan terhadap pergolakan dalaman parti-parti politik.
Jika trend sokongan semasa kekal sehingga hari pengundian, Tanjong Kapor berpotensi menjadi kerusi Bebas paling kuat untuk dimenangi, sekali gus menjadikan Verdon sebagai antara calon bebas paling berpengaruh pada PRN Sabah 2025 serta menyampaikan mesej jelas bahawa suara individu dan prestasi lapangan kini lebih bernilai daripada nama parti. – UTUSAN










