GAZA: Hamas menolak keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan membawa pasukan pentadbir dari luar untuk menguruskan pembangunan Gaza.
Kumpulan pejuang itu turut menyifatkan resolusi berkenaan ditentang oleh rakyat Palestin dan kumpulan pejuang yang lain.
“Kami menolak usaha menugaskan pasukan antarabangsa dengan tanggungjawab dan peranan di dalam Semenanjung Gaza, termasuk melucut senjata pihak penentangan.
“Keputusan ini juga seumpama melucutkan sifat berkecuali pasukan tersebut, menjadikannya satu parti dalam konflik yang memihak kepada penjajah Israel.
“Menentang penjajahan dengan apa jua cara adalah hak yang sah,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pada Isnin, UNSC meluluskan pelan AS untuk Gaza yang membenarkan penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa bagi menyediakan keselamatan di wilayah yang musnah itu, serta membayangkan kemungkinan laluan masa depan ke arah pembentukan sebuah negara Palestin merdeka.
Russia, yang sebelum ini mengedarkan draf resolusi saingan, berkecuali bersama China dalam undian yang meraih sokongan 13 negara anggota itu.
AS dan beberapa negara lain berharap Moscow tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan penggubalan resolusi tersebut oleh badan paling berkuasa PBB itu.
Undian tersebut merupakan langkah penting bagi mengekalkan gencatan senjata rapuh dan usaha merangka masa depan Gaza selepas dua tahun perang antara Israel dan Hamas.
PENENTUAN NASIB PALESTIN
Negara-negara Arab dan Islam yang menunjukkan minat menghantar tentera untuk pasukan antarabangsa menegaskan mandat UNSC adalah syarat utama bagi penyertaan mereka.
Resolusi AS itu menyokong pelan gencatan senjata 20 perkara oleh Presiden Donald Trump untuk menubuhkan sebuah Lembaga Keamanan sebagai pihak berkuasa sementara yang bakal dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Resolusi itu turut memberi kuasa kepada pasukan penstabil dengan mandat luas, termasuk mengawasi sempadan, menyediakan keselamatan dan menamatkan aktiviti ketenteraan di wilayah tersebut. Mandat untuk lembaga dan pasukan itu akan tamat menjelang akhir 2027.
Duta AS ke PBB, Mike Waltz menyifatkan resolusi tersebut sebagai ‘bersejarah dan membina’, menegaskan ia membuka hala tuju baharu di Asia Barat.
“Resolusi hari ini adalah satu permulaan. Ia merupakan satu lagi langkah penting ke arah membentuk sebuah Gaza yang stabil, berdaya maju selain mewujudkan persekitaran yang membolehkan Israel hidup dengan selamat,” katanya.
Sepanjang hampir dua minggu rundingan mengenai resolusi AS itu, negara-negara Arab dan pihak Palestin mendesak Washington mengukuhkan kenyataan asal yang dianggap lemah mengenai hak penentuan nasib sendiri Palestin.

AS kemudiannya mengubahnya untuk menyatakan selepas Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang kini mentadbir sebahagian Tebing Barat melaksanakan pembaharuan dan selepas pembinaan semula
Gaza mencapai kemajuan, syarat mungkin akhirnya wujud bagi membuka laluan yang kredibel ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin.
“AS akan mewujudkan dialog antara Israel dan Palestin untuk mencapai hala tuju politik bagi kewujudan bersama yang aman dan makmur,” jelasnya.
Perenggan itu menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berikrar menentang sebarang usaha untuk menubuhkan negara Palestin.
Netanyahu berpendapat penubuhan negara Palestin akan memberi ganjaran kepada Hamas dan akhirnya membawa kepada pembentukan entiti lebih besar yang dikuasai kumpulan pejuang itu di sempadan Israel.
Sokongan daripada negara Arab dan Islam yang mahukan gencatan senjata serta potensi menyumbang kepada pasukan antarabangsa memainkan peranan penting dalam kelulusan resolusi tersebut.
Misi AS ke PBB turut mengedarkan kenyataan bersama pada Jumaat bersama Qatar, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkiye yang menyeru kelulusan segera cadangan AS itu.
KERAHAN TENTERA PENSTABIL
Undian itu berlangsung ketika ramai berharap gencatan senjata rapuh di Gaza dapat dikekalkan selepas perang yang sudah meragut lebih 69,000 nyawa rakyat Palestin dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Russia minggu lalu mengedarkan draf resolusi saingan dengan bahasa lebih tegas menyokong pembentukan negara Palestin di samping Israel serta menegaskan keperluan menyatukan Tebing Barat dan Gaza sebagai sebuah negara di bawah PA.
Ia juga menggugurkan rujukan kepada lembaga peralihan dan meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyediakan pilihan untuk pembentukan pasukan antarabangsa yang menyediakan keselamatan di Gaza serta melaksanakan pelan gencatan senjata, dengan penekanan terhadap peranan UNSC.
Namun resolusi Russia itu tidak dibentangkan dalam undian semalam.
Resolusi AS itu menggesa pasukan penstabil memastikan proses melucutkan ketenteraan Semenanjung Gaza serta pelupusan kekal senjata daripada kumpulan bersenjata bukan negara.
Namun, persoalan besar ialah bagaimana untuk melucutkan senjata Hamas, yang belum sepenuhnya menerima langkah tersebut.
Resolusi itu menyatakan tentera penstabilan akan membantu mengawal kawasan sempadan bersama pasukan polis Palestin yang dilatih dan disaring selain menyelaraskannya dengan negara lain bagi menjamin kelancaran bantuan kemanusiaan.
Apabila pasukan antarabangsa sudah mula membawa kestabilan, tentera Israel akan berundur dari Gaza berdasarkan piawaian, pencapaian dan garis masa yang dipersetujui sebelum ini.










