Pengundi bukan mahu retorik, tetapi keberhasilan

Pengundi bukan mahu retorik, tetapi keberhasilan

Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini dilihat menjadi medan pertembungan antara kekuatan Kerajaan Pusat dan kekuatan prinsip melalui legasi kenegerian Sabah berhubung isu MA63. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAUH mana parti dan calon mampu memperjuangkan isu hak Sabah terus menjadi salah satu persoalan terbesar dalam landskap politik negeri.

Pengundi Sabah khususnya di kawasan bandar menilai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar slogan politik tetapi tuntutan sebenar terhadap hak yang digariskan.

Dalam masa sama, pengundi Sabah mahu pemimpin yang mampu berhujah secara intelek­tual dan berani dalam proses rundingan memandangkan MA63 bukan isu kosmetik, sebaliknya ia isu hak, kedudukan Perlembagaan dan masa depan negeri.

Di sinilah muncul satu dimensi baharu dalam PRN kali ini apabila beberapa kerusi menyaksikan kemasukan calon generasi baharu yang membawa legasi politik Sabah termasuk anak pemimpin terdahulu.

Namun generasi hari ini tidak hanya menilai berdasarkan nama. Mereka juga melihat keupayaan, rekod, keberanian dan kesediaan calon untuk membawa suara Sabah tanpa kompromi. Legasi tidak akan bermakna tanpa prestasi yang boleh diyakini.

Dalam konteks ini, PRN Sabah menjadi medan pertembu­ngan antara dua jenis kekuatan iaitu akses kepada kuasa pusat melalui Kerajaan Persekutuan dan kekuatan prinsip melalui legasi kenegerian Sabah yang telah lama berakar dalam landskap politiknya.

Pengundi muda dan bandar kini menilai sama ada pemimpin yang berada dalam kerajaan mampu membawa pulang hasil atau calon baharu yang tampil dengan janji memperjuangkan hak negeri, lebih layak diberi peluang.

Ini bermakna, prestasi dan naratif legasi inilah yang akhir­nya akan membentuk keputusan pengundi. PRN kali ini bukan sekadar pertandingan antara parti, tetapi pertandi­ngan antara keupayaan membuktikan siapa yang benar-benar mampu membawa Sabah lebih dekat dengan impian MA63.

Dalam suasana ini, pengundi menentukan sama ada mereka mahu meneruskan pilihan kepada pemimpin sedia ada yang mempunyai kuasa di peringkat pusat atau memberi ruang kepada generasi baharu membawa aspirasi Sabah.

Akhirnya, mandat pengundi akan menentukan sama ada rakyat mahu mengekalkan ke­pimpinan sedia ada yang memiliki kelebihan hubungan dengan Pusat, atau memberi peluang kepada generasi baharu bagi membawa semula aspirasi Sabah ke tempat yang sepatutnya di hadapan meja rundingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN