Jadi Ahli Parlimen dua penggal bukan jaminan menang

Jadi Ahli Parlimen dua penggal bukan jaminan menang

ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Walaupun telah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal, ia belum tentu menjanjikan kemenangan untuk Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dalam Pi­lihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calon Parti Warisan (Warisan) itu adalah antara enam calon bertanding di kerusi termasuk penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan bekas Ketua Menteri dan Menteri Kabinet.

Menurutnya, namun begitu beliau tidak pernah sunyi dihujani rayuan keluarga miskin yang mengharapkan bantuan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sabah sejak menjadi Ahli Parlimen Kota Belud.

Justeru, beliau mengharapkan perubahan tampuk ke­pimpinan agar permohonan penduduk DUN Usukan yang sukar mendapat rumah dapat diluluskan meskipun keperluan di kawasan tersebut sememang­nya mendesak.

“Permohonan ini sebenar­nya bukan tergantung. Rakyat setempat datang kepada kami untuk memohon, tetapi kuasa meluluskan bukan pada saya. Saya hanya boleh menghantar permohonan itu kepada kerajaan Persekutuan.

“Pada tahun 2023, daripada semua permohonan yang saya hantar, tidak ada satu pun yang diluluskan. Pada 2024 pula, saya hanya menerima kelulusan lapan permohonan bina baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Isnaraissah berkata, permohonan yang dihantar perlu diagihkan secara adil antara empat DUN di bawah Parlimen Kota Belud memandangkan beliau merupakan wakil rakyat kawasan tersebut.

“Saya cuba membantu sehingga 50 permohonan bagi setiap DUN. Ini bermakna empat DUN menyumbang kira-kira 200 permohonan. Daripada jumlah itu, saya tapis sekali lagi untuk pastikan bantuan diberi kepada mereka yang benar-benar susah dan memerlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, kerajaan negeri perlu meneliti semula dasar kelayakan bantuan perumahan agar ia lebih fleksibel dan selaras dengan keperluan sebenar rakyat.

“Terlalu banyak pemohon yang sebenarnya layak tetapi tersisih akibat syarat yang terlalu ketat, sekali gus menjejaskan peluang mereka memiliki kediaman yang selamat dan selesa.

“Ada individu yang sudah tidak ada tanggungan atau anak-anaknya telah dewasa, namun masih tidak mampu membina rumah sendiri kerana pendapatan rendah atau komitmen menjaga ahli keluarga lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN