PETALING JAYA: Desas-desus mengenai dakwaan Peter Cklamovski akan meninggalkan Harimau Malaya selepas perlawanan menentang Nepal adalah khabar angin semata-mata.
Melihat kepada rekod ditunjukkan Cklamovski sepanjang membimbing skuad kebangsaan, mustahil untuk beliau meninggalkan pasukan Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Menurut sumber rapat Harimau Malaya, dakwaan pengendali kelahiran Australia itu akan menamatkan kontrak selepas perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal pada Selasa ini hanya khabar angin.
Jelasnya, sehingga hari ini, Cklamovski begitu komited dalam menjalankan tugasnya dan enggan mengambil peduli ‘cakap-cakap’ luar yang tidak membantu pasukan mencapai kemenangan.
“Itu hanya khabar angin dan ia sama sekali tidak betul. Kalau anda dapat lihat Cklamovski, beliau hanya fokus kepada pasukan dan mahu membantu skuad Harimau Malaya berada di tahap terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Di bawah bimbingan Cklamovski, Harimau Malaya mendahului Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 dengan 12 mata selepas menewaskan Vietnam, Laos (dua kali) dan Nepal.
Namun, cabaran lain membelenggu pasukan apabila tujuh pemain warisan terpalit dengan isu pemalsuan dokumen, sekali gus dikenakan penggantungan dan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Aksi berdepan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar aksi kelayakan, tetapi medan membuktikan Harimau Malaya masih teguh dan bersedia mengharungi cabaran meskipun dihimpit isu luar padang.-UTUSAN










