KETIKA rakyat Sabah bersiap sedia memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 pada 28 November ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) kini berlumba untuk menjadi jaguh parti tempatan.
Meskipun terdapat lapan parti tempatan lain, GRS dan Warisan lebih ke hadapan dalam soal ini apabila mereka masing-masing mendakwa memperjuangkan hak Sabah agar diambil peduli oleh Kerajaan Pusat.
Di sebalik GRS diketuai Datuk Seri Hajiji Noor cuba menampilkan imej sebagai gabungan parti tempatan mewakili masyarakat pelbagai kaum di Sabah, dalam masa sama, kehadiran Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengukuhkan hubungan Sabah dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Berbanding Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, parti itu dilihat cuba menjadi juara parti tempatan Sabah berbanding parti lain apabila bertanding secara solo dengan meletakkan semua calon di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kerjasama parti Semenanjung.
Namun ia tidak bermakna Warisan memiliki kelebihan meskipun lantang memperjuangan isu hak Sabah.
Ini kerana parti itu mempunyai cabaran kerana rakyat melihat rekod pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Mengikut percaturan politik Warisan, parti itu yakin langkah itu adalah formula terbaik untuk memenangi hati 1.78 juta pengundi Sabah di samping slogan ‘Sabah Untuk Sabahan’, manakala GRS pula membawa kekuatan sebagai kerajaan penyandang dengan rekod pentadbiran yang stabil, ditambah sokongan kerajaan Persekutuan.
Akhirnya, keputusan PRN Sabah dijangka bergantung kepada dua faktor utama iaitu keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji ataupun daya tarikan semula Shafie sebagai simbol perjuangan rakyat Sabah.

Jika semangat ‘Sabah Untuk Sabahan’ diterjemahkan dalam bentuk undi, tidak mustahil Warisan mampu mencipta kejutan.
Namun, jika faktor kestabilan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan menjadi pertimbangan utama pengundi, GRS mungkin masih mampu mempertahankan tampuk kuasa.
Bersandarkan alasan bahawa setiap dasar dan pelan pembangunan perlu diteruskan demi kesinambungan manfaat rakyat, GRS menyeru pengundi agar sekali lagi memberikan mandat kepadanya, manakala Warisan pula mahu rakyat memberikan peluang sekali lagi. – UTUSAN










