PETALING JAYA: Nama Jordan Mintah menjadi tumpuan utama dalam senarai 29 pemain yang dipanggil oleh Peter Cklamovski untuk membawa cabaran negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Sentuhan penyerang naturalisasi kelahiran Ghana itu bakal menjadi taruhan baharu Cklamovski dalam memastikan Harimau Malaya kekal garang meskipun berdepan kehilangan besar tujuh pemain warisan.
Ketiadaan tujuh tonggak utama termasuk Facundo Garces dan Rodrigo Holgado yang digantung 12 bulan oleh FIFA nyata menjejaskan persiapan skuad kebangsaan, namun daripada sudut positif ia membuka pintu peluang buat wajah baharu menyerlahkan kemampuan mereka.
Selain Garces dan Holgado, lima lagi pemain iaitu Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel turut menerima nasib sama selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Selain Mintah, nama seperti Richard Chin, Ubaidullah Shamsul dan Ramadhan Saifullah turut mencuri perhatian untuk merebut tempat dalam skuad utama.
Benteng pertahanan dijangka tetap kukuh dengan kehadiran Dion Cools, Shahrul Saad, Dominic Tan dan Corbin-Ong manakala jentera tengah, menerusi kombinasi Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Noaa Laine dan Stuart Wilkin diyakini mampu menjadi nadi penggerak pasukan.
Barisan serangan turut menjanjikan variasi menarik dengan kehadiran Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales serta penyerang berpengalaman Paulo Josue dan Safawi Rasid yang kembali dengan semangat baharu selepas memperagakan prestasi memberangsangkan bersama Kuala Lumpur City di Liga Malaysia.
Kem latihan skuad kebangsaan akan bermula Isnin ini sebagai persediaan menghadapi Laos dalam dua perlawanan penting Kumpulan F aksi pertama di Vientiane pada 9 Oktober sebelum timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.
Harimau Malaya kini memimpin carta kumpulan hasil dua kemenangan terdahulu menewaskan Nepal dan Vietnam, dan pertemuan menentang Laos bakal menjadi ujian pertama buat pasukan kebangsaan selepas badai FIFA melanda.-UTUSAN