KUALA LUMPUR: Harimau Malaya meledak lima gol pada babak kedua untuk bangkit membenam Laos 5-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Dalam aksi keempat Kumpulan F itu, Laos terlebih dahulu mengejutkan skuad kendalian Peter Cklamovski pada minit ke-19 menerusi rembatan Chanthavixay Khounthoumphone yang terbias pemain negara sebelum menerjah jaring.
Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaya memperkemaskan rentak permainan untuk mencari gol penyamaan dengan peluang terbaik hadir menerusi Romel Morales pada minit ke-38.
Bagaimanapun, percubaan penyerang naturalisasi negara itu tersasar di sebelah kiri pintu gol Laos, sekali gus menghampakan 18,901 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Faisal Halim pada minit ke-59.
Gol itu ternyata membangkitkan semangat anak buah Peter Cklamovski apabila Morales berjaya meledak dua gol dalam tempoh lima minit iaitu pada minit ke-65 dan 70.
Malang terus menimpa Laos apabila Khammanh Thapaseut tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-80 untuk memberi jaringan keempat buat Harimau Malaya.
Pemain gantian, Paulo Josue kemudian melengkapkan kebangkitan penuh bergaya skuad negara apabila meledak gol kelima selepas tidak sampai seminit dia masuk menggantikan Faisal pada minit ke-81.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata selepas memenangi semua empat perlawanan awal dan tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam.
Selepas ini Skuad negara akan berdepan Nepal pada bulan depan di laman sendiri sebelum menutup tirai kelayakan menentang Vietnam pada Mac tahun depan.-UTUSAN