Serangan tumpul punca skuad B-23 tewas

Serangan tumpul punca skuad B-23 tewas

AKSI ketika skuad bawah 23 negara menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia B-23, kelmarin.- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ketumpulan jentera serangan masih menghantui skuad bawah 23 (B-23) selepas tumbang 0-1 kepada Lubnan pada aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-23, kelmarin.

Kapten skuad B-23, Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui kecewa apabila masalah ketumpulan jentera serangan sekali lagi menghantui skuad negara selepas gagal meledak sebarang gol dalam aksi itu.

“Sejujurnya saya kecewa. Permainan kami tidaklah teruk, malah ada beberapa percubaan berbahaya. Tetapi seperti biasa, siapa yang jaringkan gol, dia yang menang,” katanya.

Pemain pertahanan Terengganu FC itu mengakui masalah penyudah menghantui skuad muda negara sejak saingan Piala ASEAN B-23 bulan lalu yang menyaksikan Malaysia gagal ke separuh akhir.

“Kelemahan utama kita sama sahaja tak dapat jaringkan gol. Pada penghujung perlawanan menentang Lubanan, macam-macam cara cuba dilakukan tetapi tetap tidak berhasil.

“Nak menang, kena jaringkan gol, itu sahaja caranya,” ujarnya.

Dalam perlawanan Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Chonburi, skuad kendalian Nafuzi Zain itu sebenarnya lebih banyak menguasai perlawanan, namun gagal menterjemah kelebihan tersebut kepada jaringan.

Kelekaan pada minit ke-83 akhirnya mengundang padah apabila Ali El Fadl meledak gol tunggal perlawanan untuk menghadiahkan tiga mata berharga kepada Lubnan, sekali gus menenggelamkan harapan Malaysia untuk bermula dengan langkah kanan.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia dalam situasi getir untuk memburu slot automatik ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun depan.

Dua aksi baki menentang Mongolia pada Sabtu ini dan Thailand pada Isnin wajib dimenangi sekiranya mahu menyalakan semula peluang.

Untuk rekod, hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN