Selangor FC hilang sengat?

Selangor FC hilang sengat?

CHRIGOR Moraes (kanan) menjadi taruhan di jentera serangan Selangor FC musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun masih awal untuk menilai ‘masa depan’ Selangor FC, prestasi skuad Gergasi Merah dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa musim yang sukar sedang menanti mereka.

Memiliki reputasi gah suatu ketika dahulu, selain status sebagai pasukan dengan bajet kedua terbesar di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor seharusnya mampu menghadiahkan pencapaian setimpal kepada penyokong setia mereka.

Namun begitu, apa yang berlaku setakat ini masih belum mencerminkan kehebatan yang diharapkan dalam tempoh sedekad, di mana JDT menguasai saingan liga domestik, manakala Selangor pula ‘statik’ dengan pencapaian sama.

Dua kekalahan berturut-turut dalam kejohanan berbeza, bermula dengan tewas 2-4 kepada Bangkok United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), diikuti kekalahan 0-1 kepada Kuching City dalam saingan Liga Super, jelas membangkitkan tanda tanya mengenai prestasi pasukan itu.

Lebih merisaukan, corak permainan Selangor dilihat semakin mudah dibaca lawan, kelemahan di benteng pertahanan dan kurangnya penyudah tajam di jentera serangan menjadi punca utama kegagalan mereka untuk mengekalkan momentum, sekali gus menambahkan tekanan terhadap barisan kejurulatihan diketuai Katsuhito Kinoshi.

Penyokong pastinya kecewa kerana Selangor yang dibarisi pemain import berpengalaman serta bakat tempatan berpotensi masih gagal menunjukkan konsistensi termasuk ketika kalah 1-2 kepada Negeri Sembilan FC sebelum ini.

Dalam masa sama, jadual padat perlu diharungi Gergasi Merah menuntut mereka segera mencari jalan keluar, ketika Kinoshi sendiri mengeluh berkenaan kesukaran melakukan penggiliran pemain berikutan memiliki jumlah pemain terhad.

Kini, persoalan yang timbul mampukah Selangor segera menemui kembali sengatnya, atau terus tenggelam dalam bayangan kemarau kejayaan besar?-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN